Tuesday, July 5, 2022

Pembelajaran melangkaui buku teks dengan kaedah digital

Walaupun pandemik Covid-19 menjejaskan sesi persekolahan, beberapa guru kongsikan sisi positif PdPR secara maya sepanjang dua tahun penutupan sekolah.

Other News

Sehingga tahun 2020, belajar secara bersemuka antara guru dan murid dalam persekitaran sekolah menjadi satu-satunya mod pembelajaran utama.

Selepas pandemik Covid-19, negara terpaksa mengarahkan perintah berkurung yang menyaksikan penutupan semua institusi pendidikan selama beberapa bulan.

Dalam tempoh itu, kerajaan menggerakkan usaha pendidikan dalam talian yang dikenali sebagai pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).

Sudah banyak dibincangkan mengenai kesan penutupan sekolah terhadap pembelajaran murid-murid, antaranya hilang minat belajar dan ketinggalan dalam silibus pembelajaran.

Namun disebalik kekurangan PdPR, ada sisi lain yang timbul.

Menceritakan pengalaman mengajar semasa tempoh perintah berkurung, Nashimah Banu dari Kolej Matrikulasi Selangor berkata, pada mulanya ia mencabar kerana subjek yang diajarnya, biologi, merupakan subjek yang bersifat “hands-on”.

“Bila terlalu selesa dengan kelas fizikal, saya kena latih diri (untuk pembelajaran digital).

“Sebagai guru, saya kena yakin. Tetapi pelajar-pelajar matrikulasi sangat cepat beradaptasi,” katanya pada satu sesi online bersama Google Malaysia hari ini.

Katanya, platform digital seperti Delima yang dibangunkan untuk tujuan pembelajaran atas talian di Malaysia membantu pelajar dalam mengikuti kelasnya.

Bagi cikgu S Premalatha, penutupan sekolah meskipun memberikan cabaran awal kepada murid-murid yang tidak biasa dengan peranti digital, namun cabaran itu berjaya digalas oleh anak muridnya.

“Di kawasan luar bandar, mereka bergelut hendak mencari huruf pada papan kekunci, namun mereka sentiasa teruja dan sentiasa bertanya bagaimana mereka boleh menggunakan Chromebook.

“Ini membuatkan saya sedar bahawa selagi mana kita memberi peluang dan ruang kepada mereka, mereka akan memanfaatkannya,” katanya yang mengajar di Sekolah Jenis Kebangsaan (Tamil) Ladang Krian, Nibong Tebal, Pulau Pinang.

Seorang lagi guru, Cladius Upin dari Sekolah Menengah Kebangsaan Rancha-Rancha, Labuan, Sabah memberitahu bahawa PdPR memberi peluang kepada pelajar yang lebih pendiam untuk membabitkan diri dalam sesi pelajaran.

“Sukar untuk menerima maklum balas daripada pelajar yang pendiam dalam latar fizikal.

“Namun pada tahun lalu saya adakan permainan dan aktiviti online, kumpulan pelajar yang pendiam ini yang paling awal menyiapkan tugasan,” katanya.

Nashimah berkata, pembelajaran secara dalam talian membuatkan pelajarnya bertambah seronok belajar apabila mereka memanfaatkan sebaik mungkin, peralatan online dan digital ketika PdPR.

“Pembelajaran online menjadi platform terbaik untuk subjek sains, kita hanya perlu beritahu mereka untuk cari maklumat-maklumat, dan mereka akan membuat carian di Google.

“Mereka mendapat maklumat terkini mengenai subjek, selain mampu membuat sesi webinar dengan pelajar kolej-kolej matrikulasi yang lain,” katanya.

Ia tidak bermakna buku teks menjadi tidak relevan, kata cikgu Benny Lau dari SMK Taman Desa Jaya, Johor.

“Teknologi digital menjadi bonus dan peralatan sokongan. Buku teks tidak menyediakan semua maklumat, ia lebih kepada panduan kepada pelajar.

“Kita boleh melihat buku teks menyediakan link dan kod QR dan cikgu membimbing pelajar untuk meneroka subjek di luar buku teks,” katanya.
 

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles