Sunday, May 15, 2022

Bagaimana TikTok, Facebook menjadi medium perkasa bahasa kebangsaan

Bagi menghapuskan stigma warganegara tidak tahu bertutur bahasa kebangsaan, ramai selebriti media sosial memilih untuk menggunakan bahasa Melayu dalam video mereka.

Other News

Walaupun hampir 60 tahun Malaysia ditubuhkan, perdebatan isu warganegara tidak boleh bertutur dalam bahasa kebangsaan dan sekolah vernakular yang didakwa mengasingkan generasi muda masih hangat diperkatakan.

Bagaimanapun di media sosial beberapa selebriti TikTok dan Facebook menjadikan platform itu sebagai ruang memecahkan stigma tersebut dengan memperkasa bahasa kebangsaan.

Contohnya seperti pengguna TikTok yang dikenali dengan nama “Boss Jack”, seorang pemilik syarikat kereta terpakai di Perak.

Sketsa komedi lakonannya dan jurujual dalam bahasa Melayu menjadi perhatian ramai sehingga menerima jutaan tontonan.

Sama juga ceritanya dengan selebriti TikTok yang semakin dikenali ramai, “Boss James”, usahawan dalam bidang permotoran.

Kali ini, videonya banyak berkisarkan tentang motivasi diri, sketsa komedi dengan kakitangan dan ulasannya mengenai motorsikal terbaru dalam pasaran.

Lebih menarik, penampilan tetamu jemputan dalam video-videonya menambahkan lagi tarikan kepada penonton.

Siapa lagi yang belum menjadi tetamu Boss James?

Namakan sahaja, atlet, penyanyi, pelakon malah agamawan, semuanya ada.

Paling penting, semuanya berkomunikasi dalam bahasa Melayu.

Seorang selebriti TikTok dengan nama Adik Jun semakin menempa nama dalam ulasan automotif tempatan gembira dapat terlibat sama dengan trend tersebut.

Ini memandangkan video-video yang dimuat naik ke media sosial dalam bahasa Melayu mendapat perhatian ramai pihak terutama sekali bagi mereka yang sedang mencari informasi berkaitan jenama-jenama kereta idaman masing-masing.

Adik Jun menunjukkan akaun TikTok miliknya yang tular di beberapa platform media sosial.

Sambil menjual kereta di media sosial, Adik Jun juga menerbitkan pelbagai sketsa lucu dengan rakan-rakan sekerja menjadikan mereka digemari dan dikenali oleh pengguna maya.

Para pengikut media sosial Adik Jun sudah pasti mengenali dirinya sendiri, teman wanita dalam video sketsanya, Rica dan “Abang Cameraman” yang menjadi nama timangan kepada juruvideo.

Kata Adik Jun, semuanya bermula apabila dia merasakan video mengulas kereta yang dijual mampu mengembangkan jualan syarikat.

Selain itu, mengambil kira pengalamannya yang banyak kali menerima aduan rakan-rakan dan saudara mara yang sering ditipu dalam proses pembelian kereta menyebabkan dia terpanggil untuk menghasilkan video berhubung tips membeli kereta terpakai.

“Ketiga, saya suka kongsi rutin harian saya di media sosial sebelum terhasilnya akaun Adik Jun. Dan kali ini, saya fikir mengapa tidak saya buatnya dalam bahasa Melayu dan keluar dari zon selesa saya,” katanya kepada MalaysiaNow.

“Reaksi peminat dan penonton ada yang baik dan tak baik.

“Awal-awal dulu sebab buat topik yang agak sensitif, ada orang yang ugut saya. Tapi lebih ramai yang memberi sokongan. Itulah motivasi saya masih bertahan sampai tahap ini,” kata pengasas syarikat jualan kereta baru dan terpakai di Cheras itu.

Bukan sahaja menjadi kegemaran di TikTok, media sosial lain juga dipenuhi dengan video-video selebriti ini yang turut dimuat naik oleh pengguna lain ke Facebook, Instagram dan Twitter.

Pertuturan dalam bahasa Melayu dalam kalangan rakyat Malaysia yang berbilang kaum sering disebut-sebut sebagai cerminan bangsa.

Ini memandangkan bahasa tersebut diiktiraf sebagai bahasa kebangsaan di dalam Perkara 152, Perlembagaan Malaysia.

Tidak dinafikan, konflik identiti kebangsaan sukar dibentuk apabila segelintir pihak tidak memandang serius kepentingan bahasa Melayu dalam membentuk jati diri nasional.

Bagaimanapun, polemik bertutur dalam bahasa Melayu sudah dianggap ekstrem sehingga mencetuskan isu perkauman.

Perbincangan akademik mendapati warganegara tidak fasih berbahasa Melayu bukan sahaja terdiri daripada kaum selain Melayu.

Ia turut berlaku kepada kaum Melayu.

Ini memandangkan ia berpunca daripada banyak faktor terutamanya latar kehidupan dan pendidikan yang berbeza.

Ramai antara mereka yang dilahirkan dan membesar di luar negara tidak begitu fasih berbahasa Melayu.

Manakala, pendidikan jenis aliran kaum juga menyukarkan segelintir pihak untuk berkomunikasi dalam banyak bahasa mengakibatkan bahasa kebangsaan dipinggirkan.

Sehubungan itu, kehadiran selebriti-selebriti TikTok ini mendapat pujian.

Rata-rata komen pengguna maya sangat murni dengan semua peminat tanpa mengira kaum dan jantina menulis komentar dalam bahasa Melayu dan mereka benar-benar menikmati sketsa dan pengetahuan yang diberikan melalui penghasilan video tersebut.

Usaha memurnikan bahasa kebangsaan oleh generasi muda ini dilihat berupaya memberi lembaran baru terhadap polemik penggunaan bahasa Malaysia yang dilihat tidak bersudahan.

Dalam pada itu, Adik Jun berkata dia mengenal pasti beberapa muka baru yang turut sama dalam trend tersebut.

“Saya rasa remaja dan generasi sekarang mula menguasai bahasa Melayu dengan baik sebab dah ramai orang Cina, India dan bukan Bumiputera membuat video menggunakan bahasa Melayu.

“Saya juga berharap anak Malaysia semua memupuk perpaduan dalam negara ini,” katanya dengan penuh semangat.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles