- Iklan -
Berita

WHO beri amaran pandemik berpanjangan setelah 2 tahun Covid landa dunia

WHO bimbang beberapa negara dilihat mengurangkan ujian saringan virus itu kerana ia menyukarkan proses kenal pasti tahap sebenar pandemik.

AFP
1 minit bacaan
Kongsi
Orang ramai mengunjungi pusat bandar Stockholm sambil memakai pelitup muka bagi mengelak jangkitan Covid-19. Gambar: AFP
Orang ramai mengunjungi pusat bandar Stockholm sambil memakai pelitup muka bagi mengelak jangkitan Covid-19. Gambar: AFP

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berkata tempoh pandemik masih panjang sebelum berakhir, dua tahun selepas badan itu menggunakan istilah tersebut bagi selepas ancaman wabak Covid-19 melanda dunia.

Ketua Pengarah WHO Tedros Adhanom Ghebreyesus pertama kali menyifatkan Covid-19 sebagai pandemik pada 11 Mac 2020.

Dua tahun kemudian, beliau berkata virus itu masih berkembang dan kesnya melonjak di beberapa negara.

WHO mengisytiharkan darurat kesihatan awam di mana ia mencetuskan kebimbangan antarabangsa pada 30 Januari 2020 ketika kes positif di luar China mencatatkan kurang dari 100 kes dan tiada kematian dilaporkan.

Namun, setelah enam minggu penggunaan istilah pandemik, ia telah menyebabkan banyak negara memulakan langkah bagi berdepan krisis kesihatan itu.

“Dua tahun kemudian, lebih enam juta orang meninggal dunia (akibat Covid),” kata Tedros pada sidang media sambil menambah hampir 444 juta kes juga telah dilaporkan setakat ini.

“Walaupun kes dan kematian yang dilaporkan semakin berkurangan secara global, dan beberapa negara membatalkan sekatan pergerakan, penularan wabak itu masih jauh dari berakhir – dan penularannya tidak akan berhenti melainkan ia direkodkan berakhir di semua tempat.”

“Virus ini terus berkembang, dan kami terus menghadapi halangan besar dalam mengedarkan vaksin, ujian saringan dan rawatan,” katanya.

Tedros turut memberi amaran mengenai kadar ujian saringan baru-baru ini yang dilihat semakin berkurangan, mengatakan ia boleh menjadi punca dunia tidak sedar dengan penularan Covid-19.

“WHO bimbang beberapa negara dilihat mengurangkan ujian saringan secara drastik,” kata Tedros.

“Ini menghalang keupayaan kita untuk melihat sejauh mana tahap penularan virus, bagaimana ia merebak dan bagaimana ia berkembang.”