- Iklan -
Berita

‘Menteri perdana’ untuk Sarawak hanya kosmetik, tetapi tingkatkan populariti, kata penganalisis

Mereka berkata langkah itu hanya akan meningkatkan populariti kerajaan negeri.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Pemandangan Sungai Sarawak yang melatari bangunan Dewan Undangan Negeri di Kuching.
Pemandangan Sungai Sarawak yang melatari bangunan Dewan Undangan Negeri di Kuching.

Penganalisis tidak yakin langkah Sarawak menggantikan gelaran “ketua menteri” kepada “menteri perdana” akan dapat membantu mengembalikan semula hak negeri Borneo tersebut walaupun kerajaan negeri memberi jaminan perubahan tersebut akan mencerminkan status istimewa dalam persekutuan.

Pindaan itu adalah sebahagian daripada Rang Undang-Undang Perlembagaan Negeri Sarawak (Pindaan) 2022 yang diluluskan dengan majoriti dua pertiga selepas bacaan ketiga di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak pada Selasa.

Perubahan perlembagaan negeri itu juga menjadikan Abang Johari Openg sebagai menteri perdana pertama di Malaysia.

Bagaimanapun, penganalisis politik Azmil Mohd Tayub berkata gelaran itu secara umumnya menunjukkan Sarawak masih kekal dengan status quo.

“Saya tidak fikir sebarang kesan boleh dilihat berkenaan hubungan persekutuan dan negeri,” katanya kepada MalaysiaNow, menyifatkannya sebagai “langkah populis” yang menyasarkan rakyat Sarawak.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Abdul Karim Rahman Hamzah yang membentangkan RUU itu berkata, perubahan tersebut akan mencerminkan status Sarawak dalam persekutuan, selari dengan pindaan Perlembagaan Persekutuan baru-baru ini di bawah peruntukan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Namun begitu, Azmil mengakui langkah tersebut akan meningkatkan populariti Gabungan Parti Sarawak (GPS).

“Negeri-negeri lain tidak mendapat autonomi dan pengaturan persekutuan yang sama seperti Sarawak melalui peruntukan MA63,” katanya.

“Jadi, saya tidak fikir langkah itu akan memberi kesan kepada negeri lain.”

Penganalisis Oh Ei Sun dari Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura juga turut bersetuju dengan pandangan tersebut.

Oh berkata langkah itu hanya membawa kesan politik yang ketara jika jawatan menteri perdana itu membolehkan Sarawak mengembalikan kuasa dan haknya ke atas wilayah dan sumber minyak dan gas aslinya.

“Ia tidak begitu penting kepada kerajaan persekutuan selagi mereka terus menerima sokongan Parlimen yang tidak berbelah bagi,” katanya.

“Negeri-negeri lain pula akan mengamalkan sikap tunggu dan lihat untuk melihat sama ada Sarawak benar-benar memperolehi kelebihan itu – sama ada penurunan kuasa dari pusat kepada pelbagai negeri, dan pengembalian cukai yang kebanyakannya dikutip oleh pihak berkuasa persekutuan.”

Semalam, RUU Perlembagaan Negeri Sarawak (Pindaan) 2022 mendapat sokongan 67 Adun di DUN.

Sebelum RUU itu diluluskan, kerajaan Perikatan Nasional (PN) pada 2019 mengeluarkan arahan untuk menggantikan rujukan “negeri” kepada “wilayah” bagi Sabah dan Sarawak.

Muhyiddin Yassin, yang merupakan perdana menteri ketika itu, berkata semasa lawatannya ke Sarawak pada April tahun lepas bahawa Sarawak adalah “wilayah”.

“Mulai sekarang kita tidak boleh lupa bahawa Sarawak bukannya negeri tetapi sebuah wilayah.

“Negeri ini sebuah wilayah yang hebat, saya tidak boleh mengatakan ia sebuah negeri kerana Sarawak amat besar walaupun populasi penduduknya tidak ramai,” katanya.

Bagaimanapun, pemerhati politik Sarawak, James Chin berkata walaupun perubahan gelaran itu mungkin tidak mempunyai sebarang kesan yang ketara, namun ia boleh mencetuskan kebimbangan di semenanjung jika Sabah turut melakukannya.

“Abang Johari sedang menghantar isyarat bahawa Sabah dan Sarawak berbeza dengan negeri lain,” katanya.

“Negeri-negeri Tanah Melayu akan faham ini adalah simbolik, tetapi saya syak rakyat biasa khususnya orang Melayu mungkin tidak gembira dengan perkara ini.

“Mereka mungkin bimbang melihat Sarawak semakin jauh dari persekutuan dan menubuhkan sebuah kerajaan kecil dalam persekutuan Malaysia.”