- Iklan -
Berita

Pihak industri perlu terus amalkan SOP Covid, elak gangguan operasi, kata Azmin

Ia bagi memastikan keselamatan dan kesihatan pekerja terus terjamin sekali gus mengurangkan impak terhadap produktiviti apabila terdapat kes positif Covid-19.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Pekerja industri perlu tetap mengamalkan langkah kesihatan seperti memakai pelitup muka bagi mengelakkan premis ditutup akibat penularan Covid-19.
Pekerja industri perlu tetap mengamalkan langkah kesihatan seperti memakai pelitup muka bagi mengelakkan premis ditutup akibat penularan Covid-19.

Pihak syarikat dan industri diingatkan supaya terus mengamalkan langkah pencegahan penularan Covid-19 di tempat kerja sebagaimana yang disaran kementerian kesihatan (KKM) bagi memastikan sektor itu terus beroperasi ketika negara berdepan dengan gelombang Covid-19 varian Omicron.

Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri Mohamed Azmin Ali berkata inisiatif Safe@Work perlu kekal dipraktikan bagi memastikan keselamatan dan kesihatan pekerja terus terjamin sekali gus mengelakkan gangguan operasi syarikat dan mengurangkan impak terhadap produktiviti apabila terdapat kes positif Covid-19.

“Safe@Work (bertujuan) supaya diwujudkan ‘gelembung’ di tempat penginapan pekerja ke lokasi kilang, sekiranya ada kes baharu tiada keperluan untuk kita menutup keseluruhan kemudahan ini, sebaliknya pekerja akan diasingkan dan diberikan rawatan sewajarnya, ini dapat memastikan aktiviti perniagaan dapat diteruskan.

“Kita juga menggalakkan syarikat dan industri meneruskan usaha pemeriksaan membuat ujian secara berkala supaya pekerja yang hadir sihat, dilindungi dan tidak berlaku keadaan yang memaksa kita tutup operasi,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke kilang STMicroelectronics Sdn Bhd semalam.

Beliau berkata demikian semasa merujuk kepada strategi kementerian perdagangan antarabangsa dan industri (Miti) menghadapi gelombang Omicron berikutan peningkatan kes Covid-19.