Monday, May 23, 2022

Mahkamah putuskan sekolah vernakular sah, berperlembagaan

Hakim berkata sekolah vernakular bukan pihak berkuasa awam dan tidak bercanggah dengan Perkara 152(1) Perlembagaan Persekutuan.

Other News

Mahkamah Tinggi hari ini memutuskan bahawa kewujudan dan penubuhan sekolah vernakular serta penggunaan Bahasa Cina dan Tamil di sekolah terbabit adalah sah serta berperlembagaan.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali berkata sekolah vernakular bukan pihak berkuasa awam dan penggunaan bahasa pengantar yang bukan Melayu untuk pengajaran di sekolah vernakular Cina serta Tamil bukanlah bagi tujuan rasmi, oleh itu, tidak bercanggah dengan Perkara 152(1) Perlembagaan Persekutuan.

Beliau berkata ketika ini, terdapat lebih 1,800 sekolah vernakular di seluruh negara dengan kira-kira setengah juta pelajar daripada komposisi kaum yang berbeza secara keseluruhan.

“Oleh itu, penggunaan bahasa terbabit tidak bercanggah dengan perlembagaan dan dilindungi di bawah pengecualian dalam Perkara 152(1) (a) dan (b) Perlembagaan Persekutuan.

“Tafsiran yang benar dan tepat kesemua proviso ini dalam Perkara 152(1) tidak menghalang penubuhan dan penyelenggaraan sekolah vernakular sebagai sekolah jenis kebangsaan yang turut menggunakan kurikulum kebangsaan seperti yang diterima pakai oleh semua sekolah dalam sistem pendidikan negara,” katanya.

Mohd Nazlan membuat keputusan itu selepas menolak saman Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Majlis Pembangunan Pendidikan Islam Malaysia (Mappim) dan Gabungan Persatuan Penulis Malaysia (Gapena) yang memohon deklarasi bahawa kewujudan sekolah vernakular adalah bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan kerana peruntukan di bawah Perkara 152(1) mentakrifkan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Beliau juga memutuskan bahawa tidak ada asas untuk menyatakan bahawa penubuhan serta kewujudan sekolah vernakular adalah tidak konsisten atau bercanggah dengan Perkara 5, 8, 10, 11 dan 12 Perlembagaan Persekutuan.

Hakim itu berkata dalam apa jua keadaan, tidak pernah dibuktikan bagaimana penubuhan dan kewujudan sekolah vernakular telah mencabuli hak asasi mana-mana orang seperti yang dijamin dalam Perkara terbabit di bawah Perlembagaan Persekutuan.

“Kemasukan ke sekolah vernakular adalah satu pilihan. Sukar untuk melihat bagaimana penubuhan dan kewujudan sekolah vernakular Cina dan Tamil melanggar hak asasi mana-mana orang di bawah Perlembagaan,” katanya.

Nazlan juga berkata mahkamah secara amnya akan lebih cenderung kepada keperlembagaan sesuatu statut atas dasar bahawa Parlimen memahami dan menghargai keperluan rakyat.

“Ini juga telah disifatkan sebagai tangguhan kehakiman iaitu mahkamah hendaklah mematuhi keputusan badan perundangan yang dipilih secara demoraktik. Ia juga adalah aspek penting kepada doktrin pengasingan kuasa,” katanya.

Hakim itu juga berkata ini adalah sebab mengapa penghakimannya lebih memfokus kepada tafsiran Perkara 152(1) dan tidak mendalami isu peranan bahasa kebangsaan dalam mempromosi identiti serta perpaduan nasional, atau perjalanan berterusan pembinaan bangsa.

Beliau berkata persoalan kritikal mengenai standard pembelajaran dan pengajaran di semua sekolah, sama ada sistem pendidikan negara benar-benar inklusif, dan sama ada kemajuan serta kecemerlangan akademik diutamakan berbanding perkara lain adalah isu yang sebaiknya ditangani oleh Eksekutif dan Badan Perundangan.

Dalam saman yang difailkan pada Disember 2019, ketiga-tiga plaintif telah menamakan kerajaan dan 13 lagi sebagai defendan.

Antaranya ialah Dong Zong dan Jiao Zong, Persatuan Thamizhar Malaysia, Persatuan Tamilar Thurunal (Perak) serta empat parti politik iaitu MIC, MCA, Gerakan dan Parti Bumiputera Perkasa Malaysia.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles