- Iklan -
Berita

Korban banjir meningkat kepada 39, lepasi angka 2014

Mayat dua lagi mangsa ditemui semalam di Pahang.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Suasana banjir di Taman Sri Muda, Shah Alam. Selangor menjadi negeri paling teruk terjejas akibat banjir kilat hujung minggu lalu.
Suasana banjir di Taman Sri Muda, Shah Alam. Selangor menjadi negeri paling teruk terjejas akibat banjir kilat hujung minggu lalu.

Jumlah korban akibat banjir di Selangor dan Pahang meningkat kepada 39 orang semalam dengan penemuan dua lagi mayat di Mentakab yang terletak di daerah Temerloh, jauh melebihi jumlah mangsa banjir 2014 yang menjejaskan lebih 200,000 orang di seluruh negara.

Terdahulu, Ketua Polis Negara Acryl Sani Abdullah Sani berkata 37 kematian direkodkan dengan 10 orang dilaporkan hilang setakat semalam.

Menurut Bernama, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang Ismail Abdul Ghani mengesahkan mayat seorang lelaki dan anaknya yang dilaporkan hilang selepas dihanyutkan arus deras di sebuah padang bola di Mentakab pada Selasa telah ditemui semalam.

Mayat Musa Ahmad, 53, dan Mohd Airall Zikree, 10, ditemui masing-masing pada pukul 10 pagi dan 11.50 pagi.

Ismail berkata mayat mangsa ditemui kira-kira 100m dari tempat mereka kali terakhir dilihat.

Sementara itu, beliau berkata seorang lelaki yang dilaporkan hilang dan dikhuatiri lemas ketika mandi sungai di jambatan kereta api di Kuala Krau, Temerloh pada Rabu masih belum ditemui.

Bagaimanapun, usaha mencari dan menyelamat lelaki itu sedang giat dijalankan.

Angka korban di Pahang turut termasuk dua mangsa di Kuantan dan tujuh di Bentong, katanya.

Kemalangan jiwa di Bentong itu terjadi akibat kenaikan paras air di dua kawasan dengan dua mayat ditemui di sebuah resort percutian manakala seorang lagi mangsa masih hilang.

Selain itu, lima lagi mayat ditemui di Telemong, dengan anggota penyelamat masih menjalankan usaha mencari seorang lagi mangsa.

Pada 2014, banjir yang melanda negara ketika itu dianggap sebagai bencana terburuk pernah dialami negara dalam tempoh beberapa dekad dengan 21 nyawa mangsa terkorban.