- Iklan -
Berita

Ikut Australia berhubung media sosial, satu cara jamin keselamatan kanak-kanak?

Walaupun rancangan Australia untuk mewajibkan persetujuan ibu bapa bagi penggunaan media sosial oleh kanak-kanak bawah umur adalah satu langkah yang baik, namun ia tidak mudah, kata pakar.

Ahmad Mustakim Zulkifli
3 minit bacaan
Kongsi
Kanak-kanak menggunakan telefon pintar untuk melayari internet dan bermain permainan video di tangga rumah mereka di Kampung Gaya Asli, Pulau Gaya.
Kanak-kanak menggunakan telefon pintar untuk melayari internet dan bermain permainan video di tangga rumah mereka di Kampung Gaya Asli, Pulau Gaya.

Seorang pakar memuji langkah Australia mewajibkan keizinan ibu bapa berhubung penggunaan media sosial untuk anak bawah umur, mencadangkan Malaysia mengambil langkah yang sama mengambil kira negara itu yang mempunyai sistem pemantauan perdagangan kanak-kanak antara terbaik dunia.

Bercakap kepada MalaysiaNow, ahli akademik bidang komunikasi dari Universiti Islam Antarabangsa, Shafizan berkata Australia sudah pasti telah mengkaji secara teliti perkara tersebut berdasarkan data-data yang dimiliki mereka berhubung penggunaan media sosial oleh kanak-kanak bawah umur.

Australia pada Oktober dilaporkan mahu memaksa syarikat media sosial mendapatkan izin ibu bapa untuk pengguna di bawah usia 16 tahun, selain mengancam denda sehingga AUD 10 juta sekiranya platform internet gagal berbuat demikian.

Langkah itu tidak terhad kepada Australia, negeri California di Amerika Syarikat turut melaksanakan peraturan yang sama pada Julai lepas.

Namun katanya, keizinan ibu bukan solusi terakhir berhubung isu berkenaan.

“Keizinan ibu bapa hanya tahap pertama. Ini kerana timbul juga persoalan anak-anak dimanipulasi oleh ibu bapa di media sosial,” katanya kepada MalaysiaNow.

“Kalau ibu bapa izinkan, adakah dia akan pantau? Pada saya keizinan ibu bapa merupakan inisiatif yang baik tapi bukan usaha ‘bottom line’.”

Kes-kes membabitkan kanak-kanak bawah umur menggunakan media sosial sejak akhir-akhir ini turut mendapat perhatian.

Pada 2016, seorang pelajar berusia 13 tahun berdepan detik hitam dalam hidupnya selepas dirogol rakan lelaki yang baru dikenali menerusi aplikasi WeChat.

Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef) baru-baru ini melaporkan risiko keselamatan terhadap kanak-kanak akibat penggunaan internet semakin meningkat dengan pendedahan kepada kandungan seksual sebagai risiko terbesar.

Selain isu kandungan seksual, buli siber dan ketagihan kepada permainan online antara isu yang timbul berhubung penggunaan media sosial dalam kalangan bawah umur.

Shafizan berkata, terdapat beberapa cabaran untuk mewujudkan undang-undang seperti itu, antaranya definisi media sosial itu sendiri.

“Youtube, WhatsApp dan Google Classroom itu sendiri ialah media sosial. Adakah kita nak halang anak kita mempunyai akses terhadap media sosial sebegitu?,” katanya.

Menurutnya, tindakan itu juga dikhuatiri mengakibatkan syarikat media sosial, kerajaan dan pihak lain mengambil sikap lepas tangan memandangkan ibu bapa akan dipertanggungjawabkan sepenuhnya selepas memberi keizinan kepada anak masing-masing.

Suruhanjaya Komunikasi Media Malaysia (SKMM) dalam satu kenyataan kepada MalaysiaNow memaklumkan, langkah negara Australia mewajibkan keizinan ibu bapa dilihat satu inisiatif yang baik untuk meningkatkan tahap kawalan mereka.

“Bagaimanapun, persoalan sama ada Malaysia harus mengikut jejak Australia dalam perkara itu perlulah dikaji dengan teliti terlebih dahulu oleh pihak kerajaan dengan mengambil kira input serta maklum balas dari pihak-pihak yang berkepentingan, serta pertimbangan dari segi kebolehlaksanaan dan kekangan teknikal serta undang-undang,” menurut kenyataan SKMM.

SKMM memaklumkan, dalam satu kaji selidik badan itu menerusi Internet Users Survey 2020 mendapati, walaupun terdapat peningkatan 155% dalam jumlah anak yang menggunakan Internet, kesedaran ibu bapa mengenai kawalan ibu bapa menurun dari tahun 2018 (62.4%) kepada 53.4% pada tahun 2020.

Hanya 34.4% ibu bapa menggunakan kawalan ibu bapa untuk melindungi anak-anak mereka di internet.

Menurut data SKMM lagi, 9.7% dariapda keseluruhan pengguna internet di Malaysia terdiri daripada mereka yang berumur 19 tahun.

Platform yang popular di kalangan mereka ialah Twitter (13.3%) Instagram (12.4%) dan Youtube (10.9%) manakala aplikasi pemesejan sosial pula, KakaoTalk (17.5%) mendahului senarai, diikuti WeChat (14.3%) dan Line (13.5%).

Terdapat 9.7% pengguna Internet terdiri daripada mereka yang berumur 19 tahun dan ke bawah.

Daripada itu, 13.3% mereka menggunakan Twitter dan ini diikuti dengan Instagram sebanyak 12.4% dan YouTube sebanyak 10.9%.

Dari aspek pemesejan sosial pula, 17.5% mereka menggunakan KakaoTalk, diikuti dengan WeChat sebanyak 14.3% dan Line, 13.5%.

SKMM mencadangkan langkah seperti membudayakan penggunaan “parental control tools” dalam kalangan ibu bapa dan penjaga.

Dalam pada itu, Shafizan memaklumkan, penggunaan media sosial dalam kalangan kanak-kanak di Malaysia sama seperti trend di negara lain, namun faktor sosio ekonomi dan pendidikan membezakan antara pengguna.

“Kanak-kanak yang lebih berkemampuan akan mempunyai kadar literasi digital yang lebih, Mereka akan cenderung menggunakan media sosial sebagai pencipta kandungan (content creator) manakala kanak-kanak yang kurang berkemampuan, meskipun terdedah dengan internet, akan menjadi penonton dan penerima kandungan,” katanya.

Keizinan ibu bapa, katanya, bersifat menapis (filtering) namun ia bukan langkah yang bersifat ‘foolproof’. Cara terbaik ialah mengajar ibubapa untuk menjadi ibu bapa digital yang efisien.

“Ibu bapa perlu tahu bagaimana hendak memantau dan mendidik anak-anak mereka supaya menjadi lebih mampan digital (digitally resilient children).

“Kita tak boleh tengok sepenuhnya kegunaan media sosial anak-anak, tapi sekiranya mereka dibekalkan dengan nilai dan prinsip, mereka akan tahu cara terbaik menggunakan media sosial,” katanya.