- Iklan -
Berita

GPS akan kekal bersatu khidmat untuk rakyat, kata Abang Johari

Ketua menteri Sarawak berkata kepentingan rakyat mesti diutamakan, jika tidak, kemelut politik akan berlaku.

Nur Shazreena Ali
1 minit bacaan
Kongsi
Ketua Menteri Sarawak Abang Johari Openg. Gambar:  Bernama
Ketua Menteri Sarawak Abang Johari Openg. Gambar: Bernama

Ketua Menteri Sarawak Abang Johari Openg berkata Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan kekal bersatu dalam fokusnya untuk berkhidmat kepada rakyat.

Beliau juga berkata pemimpin harus mengutamakan kepentingan rakyat daripada kepentingan mereka sendiri bagi memastikan kerajaan terus stabil.

“Dalam politik, niat kita mesti betul,” katanya ketika berucap pada sebuah majlis di Bintulu malam tadi.

“Kita mesti meletakkan kepentingan rakyat di atas segala-galanya. Jika kita utamakan kepentingan peribadi kita, perebutan kuasa akan berlaku.”

Merujuk kepada Umno, beliau berkata inilah apa yang berlaku di Melaka.

“Rakyat sudah muak,” tambahnya.

Abang Johari juga turut mengecam budaya “katak politik”, mengatakan ia telah menyebabkan ketidakstabilan dalam negara.

Tambahnya, kerajaan negeri GPS tidak ada isu dengan penganut Kristian di Sarawak menggunakan kalimah “Allah”.

“Ia adalah antara kamu dan Tuhan kamu,” katanya.

“Mengapa mencipta masalah yang tidak perlu?”

Selain itu, beliau turut berkata, soal wiski Timah tidak seharusnya dijadikan isu besar.

“Rakyat di semenanjung suka jadikan perkara kecil sebagai isu nasional,” kata Abang Johari.

“Bagi isu Timah, hanya kerana namanya Timah, ia jadi masalah.

“Hakikatnya ‘timah’ dalam bahasa Melayu bermaksud timah, tetapi mereka menyangka itu Fatimah, nama seorang wanita.”