- Iklan -
Berita

Peningkatan automasi industri tidak bermaksud robot ambil alih kerja anda, kata pakar

Mereka berkata sebaliknya apa yang mungkin berlaku penggunaan robot secara meluas dapat membuka peluang pekerjaan baru kepada orang ramai.

Ahmad Mustakim Zulkifli
3 minit bacaan
Kongsi
Wakil jualan robot yang dibina di China Aerospace Science and Technology Corporation atau CASC menerangkan kepada pelawat pameran Airshow China 2021 mengenai Casc Bot keluaran syarikat itu. Gambar: AP
Wakil jualan robot yang dibina di China Aerospace Science and Technology Corporation atau CASC menerangkan kepada pelawat pameran Airshow China 2021 mengenai Casc Bot keluaran syarikat itu. Gambar: AP

Walaupun idea penggunaan robot di tempat kerja sering dikaitkan dengan isu penggantian tenaga kerja manusia, pakar berkata perkara berlawanan mungkin terjadi walaupun kemajuan teknologi mendorong peningkatan penggunaan mesin, terutama dalam industri pembuatan.

Sejak beberapa tahun lalu, dunia banyak berubah dengan automasi industri semakin bertambah terutama di China di mana robot juga digunakan dalam perkhidmatan penghantaran ekoran pandemik Covid-19 yang menyebabkan permintaan semakin tinggi dalam perkhidmatan penghantaran tanpa kontak fizikal.

Sementara itu, di negara jirannya, Taiwan dan Korea Selatan, robot digunakan di beberapa kafe, melakukan tugas seperti menyiapkan dan menyajikan makanan.

Robot sedemikian dikenali sebagai robot kolaboratif atau cobot, ia sangat berbeza dengan robot atau mesin tradisional di sektor perindustrian.

Walaupun terdapat kebimbangan mengenai robot mengambil alih pekerjaan manusia dan menyebabkan pengangguran secara besar-besaran, cobot pula dibina dan diprogram untuk bekerja bersama manusia.

Contoh cobot yang dibina adalah UR5, yang dibuat oleh Universal Robots dan digunakan, antara lain, di rantai teh boba di Taiwan.

Di sana, UR5 ditugaskan untuk membuat minuman, melayani pelanggan, dan membersihkan premis.

Bercakap kepada MalaysiaNow, Pengarah serantau Asia-Pasifik Universal Robot James McKew berkata peningkatan penggunaan cobot akan membolehkan manusia melakukan pekerjaan lain.

“Cobot bebaskan pekerja manusia daripada kerja-kerja berat dan berulang-ulang sekali gus memberikan mereka peluang untuk jalankan tanggungjawab yang lebih baik dan menarik dalam syarikat,” katanya.

Beliau menambah cobot dapat meningkatkan produktiviti dan mendorong kemahiran ditingkatkan.

“Bahkan, kajian Forum Ekonomi Dunia menunjukkan robot berpotensi untuk mencipta 58 juta pekerjaan di seluruh dunia dalam lima tahun ke depan.”

Robot lebih cenderung digunakan di negara maju dengan tenaga kerja yang semakin tua seperti Korea Selatan dan Jerman, yang merupakan antara negara paling banyak menggunakan khidmat robot berdasarkan nisbah jumlah robot dengan pekerja manusia.

Ia juga mungkin akan menjadi isu di Malaysia, yang dijangka akan menjadi negara tua pada 2030.

McKew turut memberi contoh Singapura, yang menurutnya memiliki kepadatan robot tertinggi setakat ini dengan nisbah 918 unit robot bagi 10,000 pekerja berbanding 34 unit di Malaysia.

“Malaysia menjadi sasaran utama dalam usaha peluasan penggunaan robotik,” katanya.

“Pada zaman automasi kolaboratif, prospek pekerjaan di Malaysia tetap ada kerana kehilangan pekerjaan akan diimbangi dengan permintaan tenaga kerja baru.”

Beliau turut berkata tidak perlu bimbang mengenai penggunaan robot di tempat kerja akan memberikan ancaman terhadap kewujudan manusia dengan memberi contoh negara-negara membangun.

Merujuk kepada China, yang dilihat sebagai pelopor budaya automasi ini, McKew berkata kejayaan pelaksanaan penggunaan robot di sana menunjukkan penggunaannya mencipta pekerjaan-pekerjaan baru.

“Sekarang, China mempunyai kepadatan robot sebanyak 187 unit bagi 10,000 pekerja, menduduki tempat ke-15 dalam industri pembuatan di seluruh dunia. Sebagai negara yang memiliki jumlah penduduk terbesar di dunia, tenaga kerja di China adalah salah satu faktor terpenting yang mendorong pertumbuhan ekonomi,” katanya.

Che Fai Yeong, seorang profesor kejuruteraan di Universiti Teknologi Malaysia, mengakui penggunaan robot akan mengakibatkan pengangguran dalam bidang pekerjaan tertentu.

Namun, Che berkata perkara tersebut tidak semestinya perlu difahami sebagai satu situasi buruk.

Menurutnya, kebiasaannya robot mengambil alih pekerjaan yang memerlukan kemahiran rendah, berulang-ulang dan membosankan di mana ia biasanya akan dielak pekerja manusia.

“Manusia masih tetap melakukan perkara-perkara yang lebih rumit dan tepat selain dapat menyediakan panduan tahap tinggi yang mana ia tidak dapat dilakukan robot.

“Cobot cipta lebih banyak pekerjaan baru antara lain termasuk pereka robot, programmer, penyelenggaraan, jurutera dan pengurusan sistem,” katanya.

McKew bersetuju dengan Che.

Katanya, walaupun ramai percaya bahawa automasi akan mengambil alih kebanyakan aspek pekerjaan, namun tiada mesin yang akan dapat menggantikan ketangkasan manusia, pemikiran kritis, membuat keputusan, dan kreativiti.

Ikuti kami di Telegram untuk kemas kini terkini: https://t.me/malaysianowbm

Langgan berita kami

Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.

Kongsi

Artikel Berkaitan

Tiada artikel ditemui.