- Iklan -
Berita

KPW, Jawi mulakan inisiatif jadikan masjid pusat transit mangsa keganasan domestik

Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, kementerian pembangunan wanita bekerjasama dalam usaha menangani masalah perceraian sepanjang pandemik.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Masjid Jamek Kuala Lumpur. Projek rintis jadikan masjid sebagai tempat perlindungan wanita dimulakan bagi menangani kes perceraian di negeri itu.
Masjid Jamek Kuala Lumpur. Projek rintis jadikan masjid sebagai tempat perlindungan wanita dimulakan bagi menangani kes perceraian di negeri itu.

Isu keganasan rumah tangga di negara ini dilihat semakin kritikal dan penularan pandemik Covid-19 diibaratkan bagai mencurah minyak ke dalam api yang sudahpun membara.

Justeru, tidak menghairankan jika kes penceraian turut meningkat, termasuk dalam kalangan pasangan Islam. Memetik pendedahan beberapa peguam syarie, sebuah akhbar melaporkan saban minggu ada sahaja kes suami isteri mahu bercerai sejak perintah kawalan pergerakan (PKP) dilaksanakan.

Antara alasan penceraian yang difailkan di mahkamah ialah masalah kewangan yang akhirnya mencetuskan pergaduhan.

Menyedari betapa seriusnya masalah keganasan rumah tangga ini yang bukan sahaja membabitkan penderaan fizikal tetapi juga mental pasangan, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) dengan kerjasama Jabatan Pembangunan Wanita (JPW), Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), menggerakkan inisiatif menjadikan masjid sebagai pusat transit untuk mangsa keganasan domestik.

Mengulas tentang projek itu, Pengarah Jawi Mohd Ajib Ismail berkata program tersebut yang dilancarkan pada Mei lepas, terbuka kepada lelaki dan wanita, termasuk bukan Islam, yang menjadi mangsa keganasan rumah tangga.

Program ini merupakan antara inisiatif di bawah Pelan Pengimarahan Masjid-Masjid Wilayah Persekutuan 2020-2024, bertujuan memperluas fungsi masjid sebagai pusat komuniti setempat yang menyediakan pelbagai kemudahan, meliputi keperluan psikososial dan kerohanian untuk semua lapisan masyarakat, katanya kepada Bernama.

Beliau berkata buat permulaan, dua masjid dipilih sebagai perintis iaitu Masjid Wilayah Persekutuan dan Masjid Al-Ghufran Pinggiran Taman Tun Dr Ismail.

Menurut beliau, kemudahan itu hanya untuk mangsa yang langsung tidak mempunyai tempat hendak dituju dan memerlukan perlindungan pada kadar segera.

“Pihak masjid akan membantu mangsa untuk memberikan perlindungan sementara dengan syarat telah membuat laporan polis berkaitan keganasan rumah tangga dan laporan perintah perlindungan kecemasan (EPO) JKM jika perlu,” katanya.

Mengulas lanjut, Ajib berkata sepanjang berada di pusat transit itu, mangsa akan diberikan bimbingan kerohanian dan kaunseling oleh pegawai masjid dan pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), bagi membantu mangsa membuat pertimbangan secara rasional selain memikirkan tindakan seterusnya.

Beliau berkata selain menyediakan pusat transit, Jawi juga mengenal pasti 12 masjid lagi yang dijadikan pusat aduan dan khidmat kaunseling untuk mangsa, selain menjalankan aktiviti yang dapat meningkatkan kesedaran tentang jenayah keganasan rumah tangga dalam masyarakat.