- Iklan -
Berita

Muhyiddin dilantik sebagai pengerusi MPN bertaraf menteri

Pelantikan Muhyiddin sebagai pengerusi MPN adalah untuk menerajui strategi pemulihan negara dari pandemik Covid-19.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Bekas perdana menteri dan Ahli Parlimen Pagoh Muhyiddin Yassin. Gambar: Bernama
Bekas perdana menteri dan Ahli Parlimen Pagoh Muhyiddin Yassin. Gambar: Bernama

Ketua Setiausaha Negara Mohd Zuki Ali hari ini mengumumkan pelantikan bekas perdana menteri, Muhyiddin Yassin sebagai pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) bertaraf menteri.

“Jemaah menteri dalam mesyuarat pada 1 Spetember 2021 bersetuju untuk melantik Muhyiddin Yassin, mantan perdana menteri ke-8 sebagai pengerusi Majlis Pemulihan Negara bertaraf menteri.

“Pelantikan ini disembah maklum kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Zuki, pelantikan Muhyiddin sebagai pengerusi MPN adalah untuk menerajui strategi pemulihan negara demi mencapai impak ekonomi terbaik dan memulihkan semula kehidupan rakyat yang terjejas teruk akibat pandemik Covid-19.

Sebelum ini, ketika masih berkhidmat sebagai perdana menteri, Muhyiddin turut mempengerusikan MPN dalam usaha berdepan impak pandemik Covid-19.

Beliau mempengerusikan MPN sehingga hari peletakan jawatan pada 16 Ogos lalu berikutan kehilangan sokongan majoriti di Dewan Rakyat apabila lebih sepuluh ahli Dewan Rakyat Umno diketuai bekas perdana menteri Najib Razak dan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi menarik sokongan terhadap beliau.