- Iklan -
Berita

Waris kepada 13,000 mangsa Covid-19 belum mohon bantuan Nadma

Nadma seru waris untuk mohon bantuan, perkemaskan permohonan supaya mudah diluluskan.

Ahmad Mustakim Zulkifli
2 minit bacaan
Kongsi
Ketua Pengarah Nadma Aminuddin Hassim berkata, jumlah kematian akibat Covid-19 mencecah 17,000 orang namun hanya waris kepada 4,300 orang sahaja yang memohon bantuan pengurusan kematian daripada badan itu. Gambar: Bernama
Ketua Pengarah Nadma Aminuddin Hassim berkata, jumlah kematian akibat Covid-19 mencecah 17,000 orang namun hanya waris kepada 4,300 orang sahaja yang memohon bantuan pengurusan kematian daripada badan itu. Gambar: Bernama

Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) menyeru waris-waris 13,000 mangsa kematian akibat pandemik untuk menuntut bantuan yang diperuntukkan di bawah Tabung Covid-19 kendalian agensi itu.

Ketua Pengarah Nadma Aminuddin Hassim berkata, jumlah kematian akibat Covid-19 mencecah 17,000 orang namun hanya waris kepada 4,300 orang sahaja yang memohon bantuan pengurusan kematian.

Menjelaskan mengenai situasi itu, katanya ada waris yang tidak membuat permohonan kerana mempunyai sumber-sumber lain yang boleh digunakan bagi membantu diri mereka.

Tabung Covid-19 dilancarkan bekas perdana menteri, Muhyiddin Yassin pada 11 Mac tahun lalu sebagai inisiatif bantuan kewangan kepada mereka yang terkesan akibat pandemik.

Dua jenis bantuan yang disediakan ialah bantuan khas RM100 kepada mereka yang bekerja atau berniaga, tetapi kehilangan pendapatan atau tidak menerima gaji sepanjang menjalani rawatan Covid-19 di hospital atau semasa kuarantin.

Bantuan kedua ialah bantuan khas pengurusan kematian Covid-19 sebanyak RM5,000 (one-off) yang diberikan kepada waris si mati warga Malaysia.

Katanya, bantuan yang lewat diluluskan membabitkan kes-kes kematian di luar fasiliti Kementerian Kesihatan, yang mana ia memerlukan proses pengesahan.

Nadma selaku pemegang amanah tabung itu perlu memastikan wang bantuan diterima mereka yang benar-benar layak.

Dalam pada itu, Aminuddin Hassim memaklumkan RM22,227,700 telah diperuntukkan kepada 16,722 pemohon bantuan khas RM100. Sebanyak RM16,175,000 diberikan kepada waris 3,235 mangsa Covid-19 yang terkorban di bawah bantuan pengurusan kematian.

35,566 permohonan diterima agensi itu untuk bantuan khas RM100. Daripada jumlah itu, 11,450 didapati tidak layak atas alasan borang dihantar beberapa kali oleh individu sama yang tidak layak.

“Ada juga kes yang mana individu menghantar borang semata-mata kerana ingin mencuba juga (walau tidak layak). Kita habiskan banyak masa memproses borang-borang yang tidak layak,” katanya.

Aminuddin turut menggesa mereka yang mahu memohon agar memperkemaskan permohonan mereka bagi memudah dan mempercepatkan kelulusan.

“Kita minta mereka hantar borang yang lengkap, jika tidak kita terpaksa tanya balik maklumat. Dahulu kita terima 60 hingga 70 borang sehari, Sekarang apabila kes harian Covid-19 mencecah 20,000, kita terima 300 permohonan bantuan sehari.”

Nadma katanya akan bekerjasama dengan agensi-agensi berkaitan untuk kes-kes khas seperti kanak-kanak yang menjadi yatim piatu akibat wabak Covid-19, atau kanak-kanak yang menjalani kuarantin kendiri seorang diri tanpa pengawasan ibu bapa.

“Kalau mereka (kanak-kanak) tiada waris kita guna wakil. Ada kes kita minta cikgu, ada kes kita minta penghulu wakilkan.

“Kita pantau untuk pastikan bantuan ini benar-benar sampai,” katanya.