- Iklan -
Berita

Kanak-kanak berumur 8 tahun meninggal dunia akibat Covid-19 di Sarawak

Pihak berkuasa Sarawak berkata kanak-kanak menyumbang 30% dalam kes positif Covid-19 di negeri itu.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Seorang kanak-kanak menangis ketika petugas kesihatan mengambil sampel ujian swab Covid-19. 30% dari keseluruhan kes positif di Sarawak terdiri daripada kanak-kanak yang tidak layak menerima vaksin ketika ini.
Seorang kanak-kanak menangis ketika petugas kesihatan mengambil sampel ujian swab Covid-19. 30% dari keseluruhan kes positif di Sarawak terdiri daripada kanak-kanak yang tidak layak menerima vaksin ketika ini.

Seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun dari Serian meninggal dunia selepas dimasukkan ke hospital akibat komplikasi tenat jangkitan Covid-19, kata pihak berkuasa Sarawak hari ini.

Mangsa yang diuji positif Covid-19 pada 21 Ogos lalu adalah salah seorang dari dua pesakit yang meninggal dunia di negeri itu hari ini.

Seorang lagi korban adalah lelaki berusia 59 tahun dari Sibu yang diuji positif pada 23 Ogos lalu.

Institut Kesihatan dan Perubatan Komuniti (IHCM) di Universiti Malaysia Sarawak berkata kehadiran varian Delta kini dikenal pasti sebanyak 99% di bahagian Kuching dan turut dikesan di 10 kawasan di negeri itu.

“Sebanyak 178 kes varian Delta baharu dikesan dan ini merupakan kadar pengesanan varian Delta setinggi 83%,” kata Pengarah Jabatan Kesihatan Sarawak Mohamed Sapian Mohamed dalam satu kenyataan hari ini.

“Kehadiran virus Delta ini yang mempunyai kebolehjangkitan yang tinggi iaitu lima sehingga lapan kali lebih tinggi berbanding dengan varian SARS-CoV lain menjadikannya faktor utama keberjangkitan kes yang tinggi di Sarawak, khususnya di Zon Selatan.”

Beliau turut menambah 30% daripada kes harian merupakan golongan di bawah umur 18 tahun yang masih belum layak menerima vaksin di negeri itu.

Berhubung kes-kes baru yang dikesan pada Ogos, beliau berkata, 99% daripadanya adalah asimptomatik atau bergejala ringan.

Beliau turut menjelaskan kadar penggunaan katil bagi kes-kes kritikal di Sarawak meningkat pada bulan ini namun masih “terkawal”.

“Sekiranya kes masih banyak dan meningkat setiap hari, penggunaan sumber tenaga dan perkhidmatan kesihatan mungkin akan lumpuh.

“Ini akan mengakibatkan tindakan-tindakan intervensi seperti pengasingan pesakit dan pengesanan kontak akan terjejas
teruk,” katanya.

Sarawak merekodkan 2,522 kes positif hari ini, menjadikan kes keseluruhan di Sarawak sebanyak 112,245 dengan 513 kematian.