Saturday, September 18, 2021

Pandemik serlahkan peranan Happy Bank bantu rakyat terjejas

Mereka hadir dengan satu tujuan iaitu menyokong masyarakat kurang bernasib baik dan terabai secara sosial.

Other News

Pandemik Covid-19 yang berpanjangan di seluruh dunia bukan sahaja menjejaskan pendapatan ramai orang, tetapi menyebabkan keadaan mental mereka merosot akibat pelaksanaan pelbagai jenis perintah kawalan pergerakan (PKP) hingga mengakibatkan ramai dibuang kerja, dikurangkan gaji dan dihimpit hutang.

Akan tetapi, pandemik ini juga menyaksikan pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) muncul untuk menyalurkan bantuan bagi memastikan keluarga atau individu yang terkesan dapat diberikan pertolongan serta keperluan sosial.

Antara NGO yang dilihat cukup aktif ketika musim pandemik ini adalah Happy Bank, sebuah organisasi berasakan sukarelawan tanpa keuntungan didorong sekumpulan anak muda yang cukup bersemangat dan komited dari pelbagai latar belakang.

Mereka hadir dengan satu tujuan iaitu menyokong masyarakat kurang bernasib baik dan terabai secara sosial.

Dengan moto tanpa kepentingan dan 100% kebahagian, bagi mereka berkongsi kesenangan tidak semestinya melalui bantuan kewangan saja tapi menerusi aktiviti kesukarelawanan dan penglibatan masyarakat.

Pengasas Happy Bank Ainie Haziqah berkata sejak ditubuhkan pada 2014, pihaknya sudah membantu ribuan masyarakat tanpa mengira latar belakang.

“Kami hanya menyokong membantu rakyat Malaysia semata-mata, tapi semua individu tanpa mengira bangsa, agama dan kewarganegaraan,” katanya dalam satu wawancara bersama MalaysiaNow.

“Kami percaya dengan bantuan yang disampaikan, ia sebenarnya mungkin membantu mereka yang hilang kerja, dipotong gaji dan tidak dapat bekerja kerana pelbagai alasan ketika pandemik ini.”

Ainie dibantu oleh pasukan sukarelawan yang tidak terhad di Lembah Klang, tetapi di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.

“Sukarelawan kami dibahagikan kepada beberapa kumpulan, iaitu ada yang bekerja dalam talian seperti merekod, mengambil, menyusun dan menyimpan data,” katanya.

“Kedua adalah pasukan logistik yang akan berhubung dengan pembekal untuk mendapat barangan harian dan sebagainya. Mereka juga kemudian akan berkhidmat menghantar barang-barang.”

Menurut Ainie, Happy Bank turut membantu “rider-rider” yang terjejas dengan menggunakan khidmat mereka.

Penunggang motosikal tersebut yang antaranya berkerja untuk Lalamove akan diupah sebagak penghantar bekalan bekalan makanan.

“Kami bantu mereka menjana sedikit pendapatan, walaupun mungkin tak banyak tapi sekurang-kurangnya ada,” tambah beliau.

Cabaran PKP

Disebabkan kawasan capaian mereka kini terbahagi kepada PKP dan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD), Ainie memberitahu perkara itu merupakan antara cabaran terpaksa ditempuh.

“Contohnya ada kawasan PKPD, tapi ramai penduduk di sana mohon bantuan, jadi itu agak menyukarkan, tapi Alhamdulilah kami bekerjasama baik dengan pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) termasuk Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk pastikan barangan disalurkan dapat sampai kepada penerima yang memerlukan.”

Sukarelawan Happy Bank membahagikan barangan untuk diagihkan kepada penduduk di Pangsapuri Hijauan.

Mengulas soal tajaan kewangan pula, bekas peguam Women’s Aid Organisation (WAO) menegaskan pihaknya hanya mengambil dana awam.

“Dana kami memang 100 peratus daripada awam atau orang ramai,” katanya.

“Memang ada juga syarikat-syarikat korporat yang membantu, tapi kami sangat teliti dalam pengambilan dana.”

Menurut Ainie, dana merupakan antara cabaran utama yang terpaksa dihadapi Happy Bank, tapi bersyukur semuanya tetap berjalan lancar setakat ini.

Sementara itu, Pengerusi Kawasan Rumah Tangga (KRT) Subang Hijauan, Addie Yusop berkata mudah untuk berurusan dengan Happy Bank kerana bantuan cepat sampai berbanding yang lain.

“Saya tahu tentang Happy Bank kira-kira sebulan yang lalu, kawan yang beritahu, selepas itu terus menghubungi Ainie,” katanya kepada MalaysiaNow.

“Usaha Happy Bank ini sangat bagus dalam keadaan pandemik, semoga program ini berterusan.”

Pada 2 Ogos lalu, Happy Bank menyumbangkan bekalan barangan keperluan asas seperti makanan kering dan basah merangkumi sayur-sayuran kepada 64 keluarga di Pangsapuri Subang Hijauan di Subang, Selangor.

Majoriti penerima bantuan adalah orang ramai yang tidak dapat bekerja, berniaga kecil-kecilan dan hidup susah.

Bantuan tersebut di mohon penduduk kepada pengerusi KRT yang kemudiannya menghubungi Happy Bank.

Selain Pangsapuri Subang Hijauan, sejak 30 Julai lalu hingga 2 Ogos, Happy Bank juga menyampaikan bantuan di beberapa tempat lain di Ampang, Petaling Jaya, Cheras, Beranang, Puchong dan Gombak.

Sumbangan turut disalur ke penduduk negeri lain seperti Kelantan, Johor, Perak, Melaka, Kuala Lumpur, Pahang, Negeri Sembilan, Terengganu, Perlis dan Kedah.

Minggu ini, mereka juga sampai ke Semporna, Sabah, untuk menghantar bekalan kepada 53 keluarga di sana.

Sumbangan kepada Happy Bank boleh diberikan melalui akaun Maybank 568621000906.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles