- Iklan -
Berita

Orang ramai boleh ke pasar raya, mengapa tidak pilihan raya, kata menteri Sarawak

Abdul Karim Rahman percaya Sarawak boleh mengadakan pilihan raya negeri pada akhir September.

Nur Shazreena Ali
2 minit bacaan
Kongsi
Ahli politik di Sarawak kini menyerahkan urusan  kepada Suruhanjaya Pilihan Raya bagi menyediakan garis panduan dan SOP jika pilihan raya negeri itu diadakan dalam masa terdekat. Gambar: Bernama
Ahli politik di Sarawak kini menyerahkan urusan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya bagi menyediakan garis panduan dan SOP jika pilihan raya negeri itu diadakan dalam masa terdekat. Gambar: Bernama

Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Sarawak, Abdul Karim Rahman Hamzah berkata bahawa beliau percaya pilihan raya umum boleh diadakan tahun ini, walaupun negara sedang berdepan dengan pandemik Covid-19.

“Jika orang ramai boleh pergi ke pasar raya, makan di restoran, dan bersiar-siar dengan mengikut SOP seperti pantau dan periksa suhu, jadi mengapa kita tidak boleh adakan pilihan raya?” katanya pada sidang media di Kuching ketika ditanya sama ada pilihan raya perlu diadakan.

Namun, beliau berkata ini hanya dapat dilakukan jika Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah memperkenalkan mekanisme pengundian dan SOP yang lebih baik bagi memastikan keselamatan masyarakat.

“Semuanya terpulang kepada SPR,” katanya, sambil menambah bahawa garis panduan tersebut harus dirangka secepat mungkin.

Katanya, jika ada kebimbangan mengenai kakitangan yang belum diberi vaksin, misalnya, maka hal ini harus dimaklumkan kepada kerajaan.

Karim turut menekankan bahawa beliau bukan menggesa pilihan raya yang pra matang, katanya, pilihan raya adalah perlu bagi memastikan mandat rakyat.

“Tidak bagus menunda pilihan raya ini,” tambahnya.

“Jika ada pembubaran DUN, pemerhatian peribadi saya adalah, peranan kita sebagai anggota DUN sudah tidak lagi sah kerana penggal jawatan itu sudah berakhir.”

Karim, yang merupakan menteri pelancongan, kesenian dan kebudayaan Sarawak, berkata bahawa pilihan raya negeri harus diadakan dalam tempoh 60 hari selepas darurat ditamatkan pada 1 Ogos.

Bagaimanapun, beliau berkata tidak mungkin pilihan raya negeri akan diadakan pada bulan Ogos.

“Saya fikir, ia tidak akan berlaku pada bulan Ogos kerana apabila ada pembubaran, speaker harus beritahu SPR bahawa DUN telah dibubarkan.

“Mereka harus bertemu dengan SPR untuk menentukan tarikh pilihan raya,” katanya, sambil menambah bahawa persiapan untuk pilihan raya boleh dilakukan lebih dari sebulan.

Beliau juga turut menggesa SPR untuk mengambil langkah proaktif bagi memudahkan pemilih keluar mengundi ketika zaman pandemik.

“SPR mesti sudah maklum sama ada mereka mempunyai cukup kakitangan di lapangan untuk melancarkan perjalanan pilihan raya,” katanya.

“Sarawak adalah negeri yang besar, jadi mereka harus dapatkan maklum balas dari semua pegawai daerah. Hal ini akan memerlukan sedikit masa untuk diselesaikan, dan ia tidak dapat dilakukan dalam masa sebulan.

“Jadi, kemungkinan besar pilihan raya diadakan pada September. Dan malahan jika diadakan pada bulan September, ia tidak mungkin diadakan pada awal September. Ia mesti pada akhir bulan. Itu pandangan peribadi saya.”