- Iklan -
Berita

98% kes Covid-19 dicatatkan hari ini dalam kategori tidak berbahaya, kata KP kesihatan

Hanya 54 kes atau 0.4% dari keseluruhan 12,541 jangkitan yang direkodkan memerlukan alat bantuan pernafasan.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Ketua Pengarah Kesihatan Noor Hisham Abdullah. Gambar: Bernama
Ketua Pengarah Kesihatan Noor Hisham Abdullah. Gambar: Bernama

Majoriti kes Covid-19 yang dicatatkan hari ini berada di bawah kategori tidak berbahaya, iaitu Kategori Satu dan Dua, kata Pengarah Kesihatan Noor Hisham Abdullah.

Menurutnya, daripada 12,541 kes yang dilaporkan dalam tempoh 24 jam lepas, 6,504 atau 51% daripadanya tidak bergejala dalam Kategori Satu sementara 5,848 (46.6%) berada di bawah Kategori Dua, yang menunjukkan gejala ringan atau sederhana.

49 kes lagi diletakkan di bawah Kategori Empat, iaitu pesakit yang memerlukan oksigen, sementara 54 lagi berada di bawah Kategori Lima yang memerlukan alat bantuan pernafasan.

Berhubung kategori yang ditetapkan kementerian kesihatan (KKM), Kategori Satu bermaksud pesakit tidak memiliki gejala, sementara Kategori Dua bermaksud gejala yang dimiliki pesakit adalah ringan atau sederhana, dan Kategori Tiga bermaksud pesakit mempunyai pneumonia atau radang paru-paru.

Kategori Empat pula merupakan kes yang memiliki gejala radang paru-paru dan memerlukan bantuan terapi oksigen.

Sementara Kategori Lima merupakan kes-kes kritikal dan pesakit memerlukan alat bantuan pernafasan

Hari ini, Malaysia merekodkan kes baru sebanyak 12,541 menjadikan kes keseluruhan Covid-19 meningkat sebanyak 893,323.

Selangor kekal mencatat kes harian tertinggi sebanyak 6,120 disusuli Negeri Sembilan (1,619), Kuala Lumpur (1,542), Johor (609), Melaka (575), Kedah (458), Sarawak (423), Pahang (382), dan Sabah (326).

Hanya Perlis (7) sahaja yang mencatatkan kes satu digit hari ini.