- Iklan -
Berita

Najib sertai mesyuarat ahli Parlimen, rancang langkah Umno seterusnya

Tempoh masa sokong PN yang diberikan Ahmad Zahid Hamidi berakhir hari ini.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dan bekas perdana menteri Najib Razak. Gambar: AFP
Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dan bekas perdana menteri Najib Razak. Gambar: AFP

Bekas perdana menteri Najib Razak adalah antara ahli Parlimen Umno yang menghadiri mesyuarat di ibu pejabat parti itu di Kuala Lumpur selepas tarikh akhir yang diberikan Ahmad Zahid Hamidi berakhir hari ini.

Sumber yang maklum dengan mesyuarat berkenaan berkata wujud perdebatan hangat mengenai rancangan parti itu yang mahu keluar daripada kerajaan Perikatan Nasional (PN), namun menolak untuk memberikan butiran lanjut.

Difahamkan selain Najib dan Zahid yang mengetuai usaha permuafakatan bersama pemimpin PKR Anwar Ibrahim, turut hadir dalam mesyuarat hari ni termasuk Ahli Parlimen Bera Ismail Sabri Yaakob dan beberapa anggota Kabinet dari Umno.

“Shahidan Kassim menolak untuk hadir,” kata sumber, merujuk kepada ahli Parlimen Arau yang lantang menggesa pimpinan tertinggi parti untuk mengambil tindakan terhadap Zahid, menuduh ketua parti itu mengambil langkah yang menentang keputusan parti supaya tiada kerjasama dengan PKR dan DAP.

Pada 21 Jun lalu, Zahid menggesa kerajaan untuk mengadakan sidang Parlimen dalam tempoh 14 hari, mengatakan sekiranya gagal ia menunjukkan penderhakaan dan tidak menghormati Raja-Raja Melayu susulan gesaan istana berkenaan sidang Parlimen.

Dalam sebuah kenyataan, Zahid yang juga presiden Umno berkata persidangan Parlimen adalah amat mustahak untuk diadakan bagi membawa pelbagai tuntutan dan harapan rakyat yang sedang kesempitan semasa menghadapi Covid-19, selain memastikan wujud akauntabiliti dalam pentadbiran kerajaan.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin hari ini mengumumkan Kabinet bersetuju untuk menasihat Agong untuk memanggil sidang Dewan Rakyat selama lima hari bermula 26 Julai depan.