- Iklan -
Berita

5 negeri penuhi indikator PPN beralih ke fasa 2 mulai Isnin

Perlis, Perak, Kelantan, Terengganu dan Pahang telah dikenal pasti memenuhi indikator PPN.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Sekatan pergerakan penuh dalam negara kini berpandukan rangka masa Pelan Pemulihan Negara yang menetapkan angka kes harian, kapasiti hospital dan petugas kesihatan sebagai indikator utama peralihan fasa.
Sekatan pergerakan penuh dalam negara kini berpandukan rangka masa Pelan Pemulihan Negara yang menetapkan angka kes harian, kapasiti hospital dan petugas kesihatan sebagai indikator utama peralihan fasa.

Menteri Kanan (Kluster Pertahanan) Ismail Sabri berkata lima negeri termasuk Perlis, Perak, Kelantan, Terengganu dan Pahang telah memenuhi tiga indikator Pelan Pemulihan Negara (PPN) dibenarkan untuk beralih ke fasa 2 berkuat kuasa 5 Julai.

Menurutnya, dalam fasa kedua, pergerakan rentas daerah dan negeri masih tidak dibenarkan kecuali pergerakan guru sekolah, dan pelajar yang mengikuti kelas-kelas peperiksaan.

“Pergerakan rentas negeri dan daerah oleh pasangan jarak jauh untuk fasa dua kita benarkan kepada mereka tetapi hanya dalam kes kecemasan dan keperluan asas,” katanya dalam sidang media bersama Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Aziz.

Ketiga-tiga indikator yang diumumkan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin semasa mengumumkan Pelan Pemulihan Nasional (PPN) ialah penularan Covid-19 dalam komuniti
berdasarkan bilangan kes jangkitan harian, kadar penggunaan katil di wad unit rawatan rapi (ICU) dan peratusan populasi dewasa yang telah lengkap menerima dua dos suntikan vaksin.

Pada fasa kedua, antara perkhidmatan yang dibenarkan beroperasi termasuk kedai buku dan alat tulis, komputer dan telekomunikasi, barangan eletrik, kedai cuci kereta dan kedai gunting rambut.

“Pasar tani dan pasar pagi juga dibenarkan beroperasi dari pukul 7 pagi sehingga 11 pagi dan jualan diterhadkan kepada enam komoditi utama sahaja iaitu sayur-sayuran, buah-buahan, barangan runcit, ayam proses, makanan laut dan daging.

“Walau bagaimanapun, pasar minggu, pasar malam dan pasar tamu masih tidak dibenarkan dibuka,” tambah Ismail Sabri.

Menurut Zafrul, nilai ambang untuk indikator pertama iaitu purata kes masih lagi mengikut nilai PPN namun akan mengambil kira jumlah penduduk negeri tersebut yang dibahagi dengan jumlah penduduk negara.

“Secara purata, Lembah Klang merangkumi 40-50% kes harian manakala kebanyakan negeri sudah merekodkan pengurangan kes. Negeri kelantan dan Terengganu menunjukkan pengurangan 80% sejak 1 Jun.

“Pelan ini merupakan penambaikan kepada PPN yang memberikan autonomi dan insentif kepada kerajaan negeri,” katanya.

Dalam pada itu, Ismail berkata Majlis Keselamatan Negara (MKN) akan meneliti ketiga-tiga indikator di peringkat negeri pada setiap minggu.

Sekiranya negeri-negeri yang beralih daripada fasa pertama menyaksikan penurunan indikator, MKN akan membuat pengumuman mengenai status negeri tersebut.