Sunday, July 25, 2021

Kerajaan salur RM300,000 bantuan bakul makanan kepada ahli Parlimen hari ini

Setiap ahli Parlimen termasuk pembangkang menerima peruntukan tersebut bagi diagihkan kepada penduduk di kawasan masing-masing melalui bantuan keperluan asas.

Other News

Peruntukan RM300,000 bagi program bantuan bakul makanan kepada setiap ahli Parlimen termasuk pembangkang, menerusi Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih), mula disalurkan hari ini.

Menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri (PMO), bagi kawasan Parlimen Gerik dan Batu Sapi (yang ahli Parlimennya telah meninggal dunia), peruntukan itu masing-masing akan disalurkan melalui Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Perak, Gerik, Perak dan Majlis Perbandaran Sandakan, Sabah.

“Susulan pengumuman Pakej Pemulih oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin pada 28 Jun lepas, program bantuan bakul makanan sedia ada akan diteruskan dan dipertingkat bagi memenuhi keperluan golongan yang terkesan.

“Peruntukan ini bagi memperkasa program bantuan bakul makanan sedia ada untuk memastikan pelaksanaan yang lebih terangkum dan efektif kepada kumpulan sasaran di seluruh negara,” demikian menurut kenyataan itu.

Pada 28 Jun lepas, Muhyiddin berkata menyedari kepentingan barangan keperluan asas rakyat dan mengambil sikap mengetepikan perbezaan politik dalam soal menyampaikan bantuan kepada rakyat, sebanyak RM300,000 diperuntukkan kepada setiap ahli Parlimen termasuk daripada pembangkang, untuk melaksanakan bantuan bakul makanan kepada golongan terjejas di kawasan masing-masing.

Pakej Pemulih berjumlah RM150 bilion itu merupakan kesinambungan tujuh program bantuan dan pakej rangsangan dengan nilai keseluruhan berjumlah RM380 bilion yang dilaksanakan kerajaan Perikatan Nasional sejak pandemik Covid-19 dikesan di negara ini awal tahun lepas.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles