- Iklan -
Berita

Tidak pakai pelitup muka, Tajuddin dikompaun RM1,500

Bekas pengerusi Prasarana itu memakai pelindung muka, namun tidak memakai pelitup muka.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Bekas pengerusi Prasarana Tajuddin Abdul Rahman ketika sidang media di stesen LRT KLCC. Gambar: Bernama
Bekas pengerusi Prasarana Tajuddin Abdul Rahman ketika sidang media di stesen LRT KLCC. Gambar: Bernama

Bekas Pengerusi Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) Tajuddin Abdul Rahman dikompaun sebanyak RM1,500 kerana gagal memakai pelitup muka ketika mengadakan sidang media berkaitan insiden kemalangan tren transit aliran ringan (LRT) di ibu negara pada 25 Mei lepas.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Mohamad Zainal Abdullah berkata kompaun dikenakan atas kesalahan itu di bawah Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021 seperti disyaratkan dalam perintah kawalan pergerakan (PKP) yang sedang berkuat kuasa.

“Tawaran kompaun sebanyak RM1,500 akan dikeluarkan dalam masa terdekat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohamad Zainal turut menasihatkan orang ramai supaya terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam memerangi wabak Covid-19.

Sebelum ini, polis telah membuka kertas siasatan berhubung tindakan Tajuddin, yang juga ahli Parlimen Pasir Salak, tidak memakai pelitup muka ketika sidang media tersebut.

Antara yang turut dipanggil bagi memberi keterangan berhubung kes berkenaan di ibu pejabat polis Dang Wangi ialah Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berhubung ciapannya di Twitter berkaitan tindakan Tajuddin itu.