- Iklan -
Berita

Lihat seluruh angka, bukan sebahagian saja, kata pakar kesihatan mengenai perbandingan dengan India

Walaupun Malaysia mengambil langkah cukup baik dalam melawan Covid-19, pakar kesihatan memberi amaran sistem penjagaan kesihatan mungkin tidak dapat menampungnya satu hari nanti.

Farhira Farudin
2 minit bacaan
Kongsi
Suasana pusat kuarantin pesakit Covid-19. Pegawai kesihatan menguruskan ribuan orang setiap hari di pusat kuarantin di seluruh negara. Gambar: Bernama
Suasana pusat kuarantin pesakit Covid-19. Pegawai kesihatan menguruskan ribuan orang setiap hari di pusat kuarantin di seluruh negara. Gambar: Bernama

Pakar kesihatan memberi amaran mengenai penggunaan data yang menunjukkan Malaysia mengatasi India berdasarkan jumlah kes yang disahkan setiap minggu untuk sejuta orang bagi menilai sistem penjagaan kesihatan negara, mengatakan faktor lain turut wajar dipertimbangkan.

Ahli epidemiologi dan pakar kesihatan awam Universiti Malaya Dr Sanjay Rampal memberitahu MalaysiaNow contohnya kadar kematian di Malaysia masih sangat rendah.

Beliau berkata, ini membuktikan sistem penjagaan kesihatan kita dapat menangani kes Covid-19 dalam negara.

Namun tambahnya, sukar untuk mendakwa bagaimana lonjakan kes Covid-19 yang berlaku baru-baru ini dapat mempengaruhi jumlah kadar kematian.

“Bagi saya, data itu berbicara sendiri, tetapi seseorang wajar memperhatikan andaian yang dibuat melalui analisa,” katanya.

Data yang dimaksudkan adalah dari Center for Systems and Engineering Johns Hopkins University dan disusun oleh Our World in Data.

Carta menunjukkan trend kes Covid-19 di India sejak Januari 2021. Pakar menolak kesimpulan-kesimpulan yang tidak benar daripada data-data mengenai virus tersebut.

Menurut Sanjay, kedudukan tinggi juga berpunca dari ujian yang banyak dilakukan sambil menegaskan negara kita mempunyai jumlah ujian Covid-19 harian ketujuh tertinggi bagi setiap 1,000 orang, serta nisbah positif sebanyak 6.4% pada Mei 2021, ini bermaksud Malaysia berjaya menguji lebih ramai penduduk berbanding negara lain dalam senarai.

“Peningkatan nisbah positif baru-baru ini menunjukkan kemungkinan kita kehilangan banyak kes daripada bulan-bulan sebelumnya,” tambahnya.

Analisa itu dibuat berdasarkan data dari 43 negara yang dipilih kerana saiz populasi sama atau lebih besar daripada Malaysia.

Katanya, walaupun berada di kedudukan tinggi untuk kes Covid-19 yang disahkan, kadar kematian di Malaysia masih terendah iaitu 0.44%, malah berada di kedudukan ke 15 bagi kematian Covid-19 untuk setiap sejuta orang pada kadar 1.53 per satu juta.

Namun beliau menambah, kematian Covid-19 per juta sukar ditafsirkan ekoran variasi tinggi tahap positif ujian antara negara berbeza antara satu sama lain.

Presiden Persatuan Hospital Swasta Malaysia Dr Kuljit Singh bersetuju bahawa data disusun Our World in Data tidak boleh menjadi asas mengenai situasi Malaysia.

Katanya, banyak aspek lain perlu diambil kira untuk memahami sepenuhnya kemampuan Malaysia berdepan gelombang Covid-19 ketika ini.

Ini termasuk sosioekonomi, akses perjagaan kesihatan dan tahap pembangunan antara negara seperti Malaysia dan India.

“Apabila anda membandingkan per juta, ya kita mungkin berada di kedudukan tinggi, tetapi dalam dinamik lain kita masih dalam situasi cukup baik,” kata Kuljit.

“Tidak wajar untuk mendakwa kita seburuk India.”

Tetapi menurutnya, Malaysia mungkin akan mencapai titik akhir suatu hari nanti.

Bagi mengelakkan perkara sedemikian terjadi, beliau menyarankan agar operasi penjagaan kesihatan perlu diberikan suntikan tambahan.

“Data itu merupakan amaran yang sangat kuat, jika tidak menangani kes Covid-19 dengan serius, tidak mustahil kita akan mencapai tahap tersebut. Tidak ada sistem penjagaan kesihatan di dunia yang dapat bertahan jika jumlahnya tidak menurun.

“Gelembung boleh pecah,” katanya.

“Kita hampir berada di tahap parah.”