Tuesday, October 26, 2021

Budaya balik kampung bakal dimamah sejarah?

Kepesatan proses urbanisasi dan semakin ramai generasi tua meninggal dunia mungkin mengurangkan aktiviti balik ke kampung yang menghimbau kenangan lalu.

Other News

Setiap pagi Hari Raya Aidilfitri, Putri Eliza Megat Nazam akan bangun awal pagi untuk menyediakan sarapan buat seluruh keluarga yang sering mempunyai lemang, rendang dan ketupat selain sajian lauk-pauk kegemaran di musim perayaan.

Selesai solat sunat Aidilfitiri, ahli keluarga akan berkumpul di ruang tamu rumah neneknya di Perak bagi acara tradisi memohon restu dan kemaafan.

Tradisi ini bagi kebanyakan keluarga Melayu berpusat kepada dua figura keluarga iaitu “atuk” dan “nenek”.

Kedua-dua orang tua dalam keluarga ini adalah alasan bagi ratusan ribu keluarga di Malaysia seperti Putri Eliza yang sanggup mengharungi kesesakan lalu lintas selama beberapa jam setiap tahun untuk balik kampung.

Kesesakan lalu lintas dan kawasan hentian rehat dan rawat (R&R) adalah petanda kepulangan keluarga di seluruh negara bagi bertemu sanak saudara selama beberapa hari.

Namun bagi beberapa keluarga, fenomena balik kampung sudah tidak ada lagi dalam sejarah apabila ahli keluarga tertua meninggal dunia dan yang muda mulai membina hidup di bandar.

Bagi Putri Eliza, hal ini mula berubah selepas kematian datuk dan neneknya pada 2019.

“Selepas mereka meninggal dunia, setiap keluarga mulai meraikan pagi raya di rumah masing-masing sebelum keluar meziarahi keluarga yang lain. Kami tidak lagi berkumpul di rumah nenek,” katanya.

Walaupun dia dan keluarga masih lagi pulang ke kampung untuk beraya, namun suasananya sudah mulai berubah.

Bagi Putri Eliza, perubahan itu berlaku selepas kematian datuk dan neneknya.

Sementara ramai yang lain tidak lagi pulang ke kampung kerana ibu bapa mereka sudah berpindah ke bandar.

Menurut statistica.com, 76.61% warga Malaysia tinggal di kawasan bandar pada 2019.

Laman sesawang itu juga mendedahkan peningkatan populasi bandar dari 66% pada 2004 hingga 74% pada 2014.

Peningkatan tersebut dijangka akan berterusan memandangkan kebanyakan yang tinggal di pedalaman mulai berhijrah ke kawasan pusat-pusat bandar bagi mencari peluang menaikkan taraf hidup.

Zaid Ahmad dari Universiti Putra Malaysia berkata walaupun peghijrahan besar-besaran berlaku, budaya balik kampung tetap akan menurun untuk beberapa tahun akan datang disebabkan urbanisasi.

Ketika pihak berkuasa merancang pembangunan dan urbanisasi, taradisi akan mula menguncup dalam masyarakat, katanya.

“Kita tidak ambil kita aspek sosial dan budaya dalam program urbanisasi kita dan impak penghijrahan terhadap sistem nilai dan kehidupan kita.

“Hakikatnya semakin kurang pelajar dari pedalaman menunjukkan urbanisasi mengambil alih kehidupan kampung,” katanya kepada MalaysiaNow.

Menurutnya, orang Melayu, seperti warga Asia lain sangat mementingkan persaudaraan dan menekankan kepentingan hubungan darah daging yang diterjemahkan dengan kaum keluarga dan kerabat yang besar.

Namun disebabkan semakin ramai menjadi orang bandar, katanya, nilai-nilai sedemikian mulai hilang sekali gus memberi kesan kepada budaya balik kampung.

“Generasi kedua dan ketiga mereka yang berhijrah ke bandar tidak lagi memiliki kenangan kehidupan di kampung. Mereka tidak lagi menyimpan rindu seperti ibu bapa mereka dulu yang sentiasa akan pulang ke kampung di musim perayaan.

“Ini ditambah lagi dengan kematian orang-orang tua di kampung, figura utama dalam keluarga,” katanya.

“Satu sebab kenapa balik kampung masih hidup ketika ini kerana generasi pertama masih hidup. Dalam kes-kes tertentu, generasi pertama pun tidak lagi pulang balik beraya.”

Zaid berkata masalah yang dihadapi ketika ini ialah menguruskan perubahan hidup dari kawasan pedalaman ke kawasan bandar dengan pertimbangan sistem nilai setempat.

Menurutnya, naratif alternatif atau seumpamanya adalah diperlukan ketika ini bagi mengekalkan tarikan untuk hidup dalam suasana kampung.

“Penghijrahan ke kampung mungkin boleh dilakukan untuk menarik minat orang muda untuk bekerja di kawasan pedalaman jika kita masih mahu mengekalkan budaya dan sistem nilai kita.

“Ia boleh dilakukan dengan perancangan yang baik, dengan penekanan kepada akses dan infrastruktur pembangunan di kawasan kampung atau pedalaman.”

Beliau turut membayangkan senario di mana orang ramai dalam hidup di kampung namun bekerja di kawasan bandar dengan menggunakan pengangkutan awam seperti kereta api berkelajuan tinggi.

“Kehidupan mereka di kampung boleh jadi moden seperti di bandar, dalam masa yang sama mereka boleh menikmati eko sistem di kampung dan hubungan yang lebih akrab antara kaum keluarga.”

Namun jika ia berterusan seperti apa yang berlaku ketika ini tanpa apa-apa tindakan, kehidupan kampung akan hanya menjadi cerita-cerita sejarah atau hanya digambarkan dalam filem dan buku.

Bagi Zaid, ia merupakan ancaman jangka panjang berbanding krisis Covid-19 yang dihadapi negara ketika ini.

“Orang ramai akan pulang ke kampung selepas pandemik berakhir,” katanya.

“Buat masa sekarang, tradisi ini masih hidup. Ia adalah perubahan jangka panjang yang perlu difikirkan dan diambil tindakan.”

Di Perak, Putri Eliza masih mahu mengekalkan tradisi walaupun perayaan tidak lagi sama seperti sebelum ini dengan ketiadaan datuk dan neneknya.

“Kami akan teruskan balik kampung untuk jumpa sanak saudara. Namun mungkin kami tak lama bercuti di kampung seperti sebelum ini. Paling kuat, dua tiga hari.”¬†

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles