- Iklan -
Berita

Sarawak kekal dengan PKPB

Walaupun PKP dilaksanakan di seluruh negara mulai 12 Mei.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Sarawak hari ini mengumumkan akan kekal melaksanakan PKPB walaupun PKP sudah dilaksanakan di seluruh negara bermula 12 Mei. Gambar: Bernama
Sarawak hari ini mengumumkan akan kekal melaksanakan PKPB walaupun PKP sudah dilaksanakan di seluruh negara bermula 12 Mei. Gambar: Bernama

Sarawak hari ini mengumumkan akan kekal melaksanakan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) walaupun PKP dilaksanakan di seluruh negara.

Jawatankuasa pengurusan bencana negeri itu berkata, PKPB yang dilaksanakan sekarang akan diteruskan sehingga 17 Mei.

Bagaimanapun prosedur operasi standard (SOP) akan diperketatkan untuk melarang sebarang aktiviti “dine-in” di semua restoran, dengan SOP berkenaan dengan sambutan Aidilfitri akan diumumkan oleh Majlis Agama Islam Sarawak.

Sarawak mencatatkan 512 kes positif baru Covid-19 hari ini dengan separuh daripadanya dikesan di Miri, dengan dua kematian dicatatkan.

Ini menjadikan jumlah kematian di Sarawak mencecah 211 dan jumlah keseluruhan kes meningkat kepada 36,321.

Semalam Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan PKP yang sebelum ini dilaksanakan di sesetengah kawasan, dikembangkan ke seluruh negara sehingga 7 Jun.

Katanya, kerajaan membuat keputusan untuk melaksanakan langkah-langkah lebih tegas untuk mengekang penularan virus, selepas lonjakan kes Covid-19 baru-baru ini.

Malaysia menyaksikan lonjakan kes Covid-19 dengan angka harian melebihi 3,000 dan melepasi 4,500 pada 8 Mei.