Wednesday, September 29, 2021

Tinjauan dapati sokongan terhadap PM meningkat, ketika rakyat utamakan ekonomi berbanding politik

Tinjauan dalam kalangan pengundi mewakili demografi pengundi di Semenanjung Malaysia menunjukkan optimisme walaupun majoriti masih melihat masa depan ekonomi suram.

Other News

Tinjauan terhadap pengundi di Semenanjung Malaysia mendapati kadar penerimaan sebanyak 67% terhadap Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri meningkat berbanding tiga bulan sebelum ini, dengan sokongan paling kuat dari kaum Melayu, diikuti India dan Cina.

Hasil tinjauan itu berdasarkan beberapa indikasi bahawa pihak berkuasa akan memerangi pandemik Covid-19 dengan tempoh lebih panjang selepas kes yang semakin meningkat sejak perintah kawalan pergerakan (PKP) dilonggarkan.

Tinjauan Merdeka Center yang melibatkan 2,111 orang responden berusia 21 tahun ke atas dan dilaksanakan antara 31 Mac dan 12 April itu juga turut mendapati lebih ramai orang (41%) berpendapat negara berada di landasan yang betul berbanding hanya 32% responden Januari lalu.

Sebanyak 51% berkata bahawa mereka berpuas hati dengan pengurusan ekonomi kerajaan ketika ini, sementara 43% lagi menyatakan tidak berpuas hati.

Mengenai pengurusan pandemik Covid-19 oleh kerajaan, 70% responden berkata mereka berpuas hati dengan pendekatan yang diambil kerajaan bagi menanganinya.

Ia adalah peningkatan ketara daripada tinjauan Januari lalu sewaktu kes harian mencecah angka 4,000 dengan hanya 53% menyatakan rasa puas hati dengan langkah-langkah kerajaan dalam membendung Covid-19.

Carta dari Merdeka Center menunjukkan bagaimana Muhyiddin memenangi hati pengundi sejak Mei 2020.

Sementara itu, hanya sekitar 46% responden berkata negara sedang berada “di landasan yang salah”, berbanding 54% sebelum ini.

“Mereka yang menyatakan pandangan bahawa negara berada di landasan yang betul memberikan respons positif terhadap pentadbiran negara selain mengakui bahawa kebajikan rakyat terjaga ketika ini,” kata Merdeka Center.

“Mereka yang berpendapat negara sedang menuju ke arah yang salah pula menyebutkan kebimbangan mengenai kestabilan politik dan keadaan ekonomi yang tidak menggalakkan ketika ini.”

Dalam pada itu, tinjauan tersebut turut menunjukkan bahawa ekonomi masih menjadi perhatian utama (57%), diikuti pandemik Covid-19 (16%).

Apa yang menariknya, tinjauan itu turut mendapati hanya 2.4% sahaja yang bimbang dengan politik negara ketika ini walaupun nada politik meningkat dari kedua-dua belah pembangkang dan kerajaan yang tertumpu kepada isu majoriti rapuh yang dimiliki Muhyiddin.

Tinjauan itu turut mendapati bahawa kebimbangan ekonomi itu juga berpunca daripada keadaan kewangan peribadi pengundi, dengan 57% responden berkata tahun ini lebih “buruk” berbanding tahun sebelumnya.

Sementara itu, sebilangan besar responden (68%) berpendapat keadaan ekonomi Malaysia adalah negatif berbanding setahun lalu, ketika kebanyakan masalah berkaitan Covid-19 masih tidak dapat diselesaikan.

Merdeka Center berkata peningkatan kadar penerimaan terhadap Muhyiddin itu boleh dikaitkan dengan pembukaan semula sektor ekonomi dan program vaksinasi kebangsaan.

“Perkara ini ditunjukkan dalam penerimaan kukuh terhadap perdana menteri dan keyakinan kepadanya dalam menangani wabak dan ekonomi – walaupun keadaan pengundi yang masih dilihat tertekan ekoran kewangan peribadi mereka dan persepsi mereka terhadap ekonomi,” tambahnya.

Menurut badan itu lagi, bantuan kewangan kepada isi rumah dan perniagaan, selain kelonggaran syarat bagi orang ramai mengeluarkan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja “telah mendorong persepsi masyarakat terhadap kerajaan dan pemimpinnya”.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles