- Iklan -
Berita

Vaksinasi dos pertama barisan hadapan dijangka selesai pertengahan April

Vaksinasi bagi fasa kedua melibatkan mereka yang berumur 60 tahun ke atas dijangka bermula 19 April depan.

Farhira Farudin
1 minit bacaan
Kongsi
Petugas barisan hadapan HPUPM menerima suntikan vaksin Pfizer BioNTech di Hospital Pengajian Universiti Putra Malaysia (HPUPM), Serdang.
Petugas barisan hadapan HPUPM menerima suntikan vaksin Pfizer BioNTech di Hospital Pengajian Universiti Putra Malaysia (HPUPM), Serdang.

Semua petugas barisan hadapan sama ada daripada sektor kerajaan atau swasta yang disasarkan dalam Fasa 1 Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dijangka mendapat dos pertama vaksin pada April 2021.

Dalam sidang media hari ini, Khairy Jamaluddin yang merupakan menteri penyelaras PICK berkata 90% dari 500,000 anggota barisan hadapan yang disenaraikan dalam Fasa 1 telah menerima dos pertama mereka.

Beliau berkata, barisan hadapan dalam senarai sasaran Pasukan Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF) disasar menyelesaikan vaksinasi mereka pada pertengahan April.

“Berdasarkan senarai, 90% barisan hadapan perubatan dan bukan perubatan telah menerima sekurang-kurangnya dos pertama.

“Kami akan menyelesaikan Fasa 1 dalam masa dua minggu lagi untuk dos pertama,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan bekerjasama dengan pegawai kesihatan di hospital, pejabat kesihatan daerah dan jabatan kesihatan negeri yang terlibat dalam program itu bagi memastikan semua barisan perubatan menyelesaikan dos pertama mereka secepat mungkin.

“Kami harap hospital, pejabat kesihatan daerah dan jabatan kesihatan negeri tidak tercicir sesiapa pun dalam senarai mereka.

“Itu adalah proses manual yang kami teliti, demi memastikan semua orang yang layak menerima vaksin,” katanya.

Fasa kedua program vaksinasi akan melibatkan mereka yang berumur 60 tahun ke atas dan kumpulan berisiko tinggi. Ia dijangka bermula pada 19 April depan.

Khairy turut menambah mereka yang disenaraikan dalam fasa kedua akan diberitahu dua minggu sebelum janji temu vaksinasi mereka melalui aplikasi MySejahtera.