- Iklan -
Berita

Pengikut setia Anwar gesa PH jangan tolak kerjasama dengan Umno

PH digesa tidak ‘kunci mati’ pintu kerjasama terhadap mana-mana pihak kerana situasi politik semasa sentiasa berubah-ubah.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Naib Ketua Pemuda PKR Syed Badli Shah Syed Osman, antara yang lantang mendesak jawatan perdana menteri diserahkan kepada Anwar semasa PH menjadi kerajaan. Gambar: Facebook
Naib Ketua Pemuda PKR Syed Badli Shah Syed Osman, antara yang lantang mendesak jawatan perdana menteri diserahkan kepada Anwar semasa PH menjadi kerajaan. Gambar: Facebook

Penyokong setia Presiden PKR Anwar Ibrahim menggesa Pakatan Harapan (PH) agar terbuka untuk bekerjasama dengan sesiapa sahaja termasuk Umno, mengatakan ia akan menguntungkan gabungan itu pada pilihan raya umum akan datang.

“PH tidak seharusnya bersikap ‘kunci mati’ pintu kerjasama terhadap mana-mana pihak kerana situasi politik semasa sentiasa berubah-ubah.

“Sekiranya agenda reformasi yang menjadi dukungan PH boleh diterima oleh pihak lain, tidak mustahil satu kerjasama politik boleh dijalinkan,” kata Naib Ketua Pemuda PKR Syed Badli Shah Syed Osman, antara yang lantang mendesak jawatan perdana menteri diserahkan kepada Anwar semasa PH menjadi kerajaan.

Kenyataan ini dikeluarkan ketika audio suara dikatakan mirip Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi memberitahu rakan partinya agar menyokong Anwar tersebar.

“Dia dua kali masuk penjara. Katakanlah dari segi tindakannya bersih, hubungannya dengan Allah Ta’ala kita tak tahu, saya tidak pernah tengok,” kata suara lelaki mirip Zahid dalam rakaman itu.

Seorang pembantu Zahid memberitahu MalaysiaNow mengetahui mengenai kewujudan rakaman audio itu namun tidak boleh memberikan pengesahan tentang kesahihannya.

Zahid dan bekas perdana menteri, Najib Razak merupakan sebahagian daripada pasukan Anwar ketika mereka bersama-sama berjuang dalam Umno pada 1990-an, kedua-duanya berusaha keras menarik Umno untuk bekerjasama dengan presiden PKR itu.

Pada Oktober MalaysiaNow mendedahkan isi kandungan surat kedua-dua pemimpin itu kepada Istana yang menyatakan sokongan mereka kepada Anwar untuk menggulingkan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Zahid dan Najib adalah antara sekumpulan pemimpin Umno yang mendakwa partinya diketepikan oleh Muhyiddin daripada jawatan kanan kerajaan.