- Iklan -
Berita

Larangan rentas negeri jadikan sektor pelancongan Sarawak lesu

Pemain industri pelancongan tidak melihat sektor itu akan pulih sehingga larangan rentas negeri dan daerah dibatalkan.

Nur Shazreena Ali
3 minit bacaan
Kongsi
Ekoran PKPB, pemandangan Jalan Main Bazaar, di Kucing yang terkenal dengan kedai-kedai kraftangannya kelihatan lengang.
Ekoran PKPB, pemandangan Jalan Main Bazaar, di Kucing yang terkenal dengan kedai-kedai kraftangannya kelihatan lengang.

Negara yang kini menjalani perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) dan pemulihan (PKPP) menunjukkan sinar harapan ekonomi negara bakal pulih sedikit demi sedikit.

Sinar itu turut bertambah dengan jumlah jangkitan baru yang semakin menurun di bawah 2,000 berbanding 6,000 kes pada awal tahun ini.

Namun, bagi kebanyakan pemain industri pelancongan, mereka masih pesimis mengenai peluang untuk bangkit semula dalam waktu terdekat lebih-lebih lagi apabila larangan rentas negeri masih berkuatkuasa.

Larangan rentas negeri adalah salah satu rintangan terbesar bagi mereka dalam usaha memulihkan industri tersebut.

Di Sarawak, masalah ini jadi lebih parah apabila perjalanan rentas daerah terus dilaksanakan kerajaan negeri walaupun sekatan demikian kini sudah dibatalkan di semenanjung.

Penjaja gerai Khairul Mohd Ali berkata beliau merasakan seakan tiada harapan untuk pulihkan perniagaan melainkan larangan itu dibatalkan.

“Jujur saya cakap, saya tak pasti sama ada perniagaan saya akan pulih pada akhir tahun ini,” kata Ali, yang menjual makanan ringan berdekatan pusat bandar, Kuching Waterfront, kepada MalaysiaNow.

“Sebelum Covid-19, tempat ini penuh dengan orang tempatan dan keluarga mereka datang ke sini untuk makan.”

Namun, ketika ini, kawasan itu sepi tanpa kehadiran orang ramai.

Irene Ak Tila, pembantu di sebuah kedai kraftangan Sarawak turut bersetuju.

Beliau berkata lonjakan kes Covid-19 di Sibu menjejaskan banyak perniagaan kraftangan kerana sebahagian besar pelanggan mereka adalah pelancong.

Perniagaan kraftangan di Sarawak bergantung kepada pengunjung domestik dan antarabangsa.

Awal bulan Mac, kerajaan mengumumkan bahawa empat negeri yang sebelum ini berstatus PKP – Selangor, Kuala Lumpur, Johor dan Pulau Pinang – ditukar status yang sama dengan Kedah, Kelantan, Negeri Sembilan, Sarawak dan Perak di bawah PKPB.

Melaka, Pahang, Terengganu, Sabah, Putrajaya dan Labuan pula ditukar status kepada PKPP seperti Perlis.

Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob mengumumkan perjalanan antara daerah akan dibenarkan di semua negeri kecuali Sabah walaupun larangan perjalanan rentas negeri terus dilaksanakan.

Timbalan Ketua Menteri Negeri Amar Douglas Uggah juga kemudiannya berkata Sarawak juga akan mengekalkan larangan perjalanan rentas daerah kecuali dengan kebenaran polis.

Sarawak turut mengehadkan kekerapan penerbangan yang masuk dari Sabah dan semenanjung sebagai sebahagian daripada usaha membendung penularan jangkitan di negeri itu.

Sektor pelancongan di Sarawak terpaksa berhempas pulas untuk meneruskan operasi sehingga larangan rentas negeri dan daerah dibatalkan.

Mereka yang melakukan perjalanan ke Sarawak wajib membuat permohonan lebih awal dan menjalani ujian RT–PCR Covid-19 tiga hari sebelum berlepas. Hasil ujian negatif pula hanya sah selama tiga hari.

Norliza Muhamed yang berasal dari Kelantan mengakui langkah berjaga-jaga sememangnya diperlukan untuk menjaga nyawa ketika wabak itu masih tular ketika ini.

Namun, Norliza berkata hal itu turut melemahkan industri pelancongan domestik di Sarawak.

Dia turut menambah langkah-langkah yang diambil kerajaan negeri itu turut menyebabkan kenaikan harga tiket penerbangan merujuk pengalaman beliau yang mengambil penerbangan baru-baru ini.

Katanya, dia terpaksa membayar hampir RM1,000 untuk tiket sehala dari Kuching ke Kuala Lumpur.

“Penerbangan domestik untuk perjalanan antara Sarawak dan semenanjung sangat mahal,” katanya kepada MalaysiaNow.

“Banyak penerbangan dibatalkan.”

Sebelum Covid-19 melanda, Norliza akan menempah penerbangan terus ke Kota Bharu. “Tetapi sekarang, kami terpaksa terbang ke Kuala Lumpur dahulu kerana tiket terbatas.”

Pemandu teksi Chang Poh Chak berkata perlu berhempas pulas untuk memenuhi keperluan keluarga ketika ini kerana pelancong berkurangan.

Chang, 74, berkata pendapatan hariannya menjunam sepanjang tahun lalu ke tahap dirinya terpaksa berpuas hati dengan RM20 sehari.

“Saya anggap diri saya bernasib baik sekiranya dapat memperoleh lebih dari RM20 sehari,” katanya.

Bagi perjalanan dengan bas, pembantu jualan Marina Abdul Kadir berkata harga tiket mungkin meningkat, kerana menurutnya, bas hanya boleh ambil separuh daripada kapasiti penuh penumpangnya.

“Ini semua memang dijangka kerana larangan perjalanan rentas daerah sekarang ini perlukan keizinan daripada polis sebelum melakukan perjalanan ke Kuching atau sebaliknya,” katanya.