Wednesday, December 1, 2021

Universiti tempatan tidak faham apa yang penting dalam penyelidikan, terperangkap dengan ‘penjajahan akademik’

Ahli akademik Faisal Tehrani mengatakan ranking antarabangsa adalah salah satu bentuk penjajahan seperti yang pernah disebut oleh Syed Husein Alatas.

Other News

Salah seorang penulis dan ahli akademik kontroversi bersetuju keutamaan yang diletakkan sesetengah universiti untuk mendapatkan ranking dunia tinggi yang dinilai di Barat sebagai salah satu bentuk imperialisme akademik.

Faisal Tehrani yang merupakan felow bersekutu di Weatherhead Center, Universiti Harvard yang sudah menerbitkan berpuluh penulisan tentang sejarah Melayu berkata, ranking antarabangsa adalah salah satu bentuk penjajahan.

“Tidak syak lagi ia adalah penjajahan akademik. Antara tokoh yang sudah pernah menyebutkan ini ialah Profesor Syed Husein Alatas,” kata Faisal kepada MalaysiaNow merujuk kepada pengasas Gerakan yang juga ahli akademik terkemuka yang mencabar ahli sejarah Barat dengan penulisannya seperti “Mitos Peribumi Malas”.

Faisal yang juga felow di Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia mengulas laporan MalaysiaNow berhubung penemuan daripada dua orang profesor dari Republik Czech, yang antara lain turut mendedahkan ahli akademik Malaysia termasuk dalam kalangan penulis terkenal yang menerbitkan lebih daripada 300 “jurnal pemangsa” atau penerbitan dipersoalkan standard kandungan dan editorial, dan dikatakan kebiasaanya menerima bayaran untuk menerbitkan artikel.

Terdapat 324 jurnal pemangsa diterbitkan dari seluruh dunia ditemui dalam Scopus, iaitu pangkalan data berpusat di Belanda yang sering digunakan sebagai penanda aras oleh agensi ranking universiti global dalam melakukan penilaian universiti-universiti dunia.

Faisal Tehrani

Pendedahan ini, selain memperbaharui perdebatan berhubung kualiti hasil penyelidikan daripada univesiti di Malaysia, turut menyebabkan ranking tahunan universiti Malaysia di peringkat global dipersoalkan.

Setiap tahun, sekurang-kurangnya dua organisasi akan menerbitkan senarai universiti mereka dari seluruh dunia, dengan memberi skor ranking berdasarkan indakator.

Tahun lepas, Times Higher Education World University Rankings menyenaraikan universiti-universiti di Britain, Amerika Syarikat dan lain-lain negara-negara Eropah pada kedudukan 20 teratas daripada 1,500 universiti di 93 buah negara.

Akan tetapi ramai sudah mula mempersoalkan sama ada universiti perlu menilai prestasi mereka berdasarkan raking seperti itu.

Ahli akademik terkemuka Chandra Muzaffar mengatakan senarai global seperti itu sebagai “sebahagian daripada permainan penjajah yang lebih besar” untuk mengekalkan dominasi beberapa universiti, terutamanya universiti Barat

“Tindakan menggambarkan universiti-universiti ini sebagai puncak kecemerlangan adalah dengan satu tujuan untuk memastikan idea, individu dan kursus yang dikaitkan dengan mereka dapat dikekalkan sebagai penanda aras standard ilmu pengetahuan,” kata Chandra kepada MalaysiaNow.

Sains dan teknologi sebagai indikator

Faisal berkata, kekayaan di Barat dan pengetahuan mereka yang membolehkan mereka berada di hadapan ialah kerana lebih dua ratus tahun lalu, mereka datang ke Timur dan mengambil khazanah dan hak kita.

“Ini termasuklah kearifan lokal,” kata Faisal yang tujuh bukunya diharamkan kerajaan Malaysia semasa era Barisan Nasional.

Faisal turut mempersoalkan kaedah yang digunakan QS yang lebih terbuka dan terdapat kepentingan komersil kerana senarainya meletakkan universiti-universiti Malaysia lebih tinggi daripada yang dikeluarkan Times Higher Education.

“Akhirnya, kita tertipu dengan permainan ini. Kita terperangkap dengannya dan mengejarnya ketika kita perlu menyasarkan perkara lain”.

Akan tetapi Faisal mengakui ranking tinggi diberikan kepada institusi pendidikan Barat disebabkan mementingkan sains dan teknologi.

“Sekali lagi petunjuk atau batu tanda Revolusi Industri itu datang atau muncul dari/di Barat maka kita menggunakan parameter tersebut”.

Tetapi katanya, Revolusi Industri menjadi kenyataan apabila berlaku reformasi.

“Apa yang berlaku ialah dunia Timur/Islam (oriental) telah pun sebenarnya menempuh laluan itu tetapi kita patah balik kerana berlaku gendala/halangan setelah penjajahan”.

Katanya, universiti hanya boleh menjadi cukup berpengaruh dan berwibawa apabila budaya berfikir kritis, dan budaya berfikir kreatif terdapat dalam kalangan masyarakat.

“Ini dua aspek yang menjadi teras kepada budaya penyelidikan.

“Untuk beroleh budaya penyelidikan, ia bukanlah mudah kerana masyarakat itu sendiri mesti diajar berfikir, tidak menjadi pak turut dan dengan itu akan berani memikir secara kreatif.

“Jadi budaya penyelidikan itu jauh lebih sukar berbanding budaya pembuatan (manufacturing) dan perkhidmatan (service) yang sangat ditekankan dalam masyarakat kita,” katanya.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles