- Iklan -
Berita

Kawalan ala PKP ketika jangkitan Covid-19 meningkat?

Putrajaya dikatakan sedang mempertimbang pelaksanaan semula PKP ke atas enam buah negeri zon merah Covid-19.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi

Putrajaya sedang mempertimbangkan kaedah kawalan bagi membendung jangkitan Covid-19 ala Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang akan menyaksikan sekatan rentas negeri dan aktiviti sosial terhadap beberapa buah negeri zon merah termasuk Lembah Klang.

MalaysiaNow difahamkan, satu bentuk PKP akan diumumkan dalam masa terdekat terhadap Selangor, Kuala Lumpur, Sabah, Pulau Pinang, Johor dan Melaka yang menjadi negeri sepenuhnya zon merah jangkitan wabak itu.

“Sementara negeri-negeri lain akan berada dalam fasa PKPB (Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat) diteruskan seperti biasa,” kata sumber yang mengetahui tentang mesyuarat harian perkembangan jangkitan Covid-19 di Putrajaya.

Beliau bagaimanapun tidak menjelaskan lebih lanjut syarat dan prosedur operasi standard (SOP) yang bakal digunapakai dalam fasa PKP tersebut.

Tetapi, menurutnya, pegawai tinggi kerajaan di sektor kesihatan berasa yakin kaedah itu mampu menurunkan jangkitan Covid-19 sehingga 80% dalam tempoh sebulan.

Difahamkan, keputusan untuk melaksanakan arahan tersebut sudah pun muktamad.

“Tetapi kena tunggu pejabat Peguam Negara untuk membuat beberapa pindaan sebelum pengumuman rasmi dibuat oleh perdana menteri,” kata sumber itu.

MalaysiaNow belum jelas dengan butiran lanjut pelaksanaan PKP ke atas enam negeri tersebut, tetapi difahamkan keputusan drastik tersebut dibuat selepas rekod harian jangkitan Covid-19 mencecah lebih 2,000 angka dan meragut lebih 500 nyawa setakat ini.

Tambah sumber itu lagi, sekiranya PKP itu berkuatkuasa, rentas negeri tidak lagi dibenarkan kecuali bagi tujuan mendapatkan keperluan harian dan urusan kecemasan sahaja.

“Sektor ekonomi mungkin dibuka dengan SOP yang ditetapkan.

“Tetapi aktiviti sosial seperti perhimpunan, perayaan, kenduri kahwin, sukan dan keagamaan tidak dibenarkan sama sekali,” katanya kepada MalaysiaNow.

PKP dilaksanakan pertama kali pada Mac tahun lalu di mana kes positif Covid-19 mencatat dua angka sehari.

Pelaksanaannya menyaksikan impak besar terhadap sektor ekonomi negara dan mengakibatkan kerajaan pusat mengeluarkan peruntukan besar-besaran dalam usaha membantu rakyat yang terkesan akibat kehilangan kerja dan sumber pendapatan.

PKP kemudiannya ditamatkan pada Jun 2020 dan digantikan dengan kawalan pergerakan lebih sederhana dan SOP yang lebih mesra rakyat.

Namun, kes jangkitan melonjak pada September selepas Pilihan Raya Negeri Sabah.

Ekoran itu, Kementerian Kesihatan mengumumkan gelombang ketiga jangkitan Covid-19 di Malaysia.