Monday, September 20, 2021

Jatuh, bangun sektor pendidikan negara sepanjang 2020

Tahun penuh dengan kenangan suka duka buat guru, ibu bapa dan pelajar.

Other News

2020 menjadi tahun yang cukup signifikan bagi sektor pendidikan negara kerana banyak perkara besar berlaku daripada peletakan jawatan menteri, penutupan sekolah kerana Covid-19 dan pembelajaran dilakukan secara dalam talian.

Seawal 2 Januari negara dikejutkan dengan peletakan jawatan Maszlee Malik sebagai menteri pendidikan ketika Pakatan Harapan (PH) masih menerajui Putrajaya.

Kekosongan jawatan itu diisi Dr Mahathir Mohamad sebagai pemangku sekali gus kali kedua memegang jawatan itu selepas pertama kali dilantik dalam Kabinet perdana menteri kedua, Abdul Razak Hussein.

Tidak begitu lama selepas itu, jawatan menteri pendidikan berubah lagi selepas kerajaan PH tumbang selepas Mahathir yang juga perdana menteri meletakkan jawatan.

Bekas timbalan menteri ekonomi semasa zaman PH, Radzi Jidin mengisi jawatan itu selepas Perikatan Nasional (PN) yang dipimpin Muhyiddin Yassin mengambil alih Putrajaya.

Sektor ini kemudiannya mengalami rombakan takwim persekolahan sehingga kepada penutupan sekolah dan institut pengajian tinggi yang menyaksikan kesemua murid dan penuntut universiti menjalani pembelajaran secara dalam talian.

Berikut beberapa sorotan sepanjang tahun pandemik melibatkan sektor pendidikan negara:

UPSR, PT3 dibatalkan

Buat kali pertama dalam sejarah pendidikan negara, kerajaan mengumumkan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) dibatalkan pada April lalu.

Langkah itu diambil ekoran pelaksanaan Peritah Kawalan Pergerakan yang menyebabkan sesi persekolahan terhenti, dengan kerajaan memberi jaminan ia tidak akan menjejaskan tahap penguasaan murid.

Menteri Pendidikan Radzi Jidin mengatakan satu kaedah baru turut akan dilaksanakan bagi menggantikan peperiksaan itu khusus untuk kemasukan sekolah berasrama penuh, Maktab Rendah Sains Mara dan sekolah teknik.

SPM, SVM dan STAM ditangguhkan

Selain pembatalan UPSR dan PT3, calon-calon yang bakal menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM) and Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) turut ditangguhkan.

Kesemua jenis peperiksaan itu hanya akan dilaksanakan pada suku pertama tahun depan.

Berikutan perubahan tarikh peperiksaan itu, kemasukan pelajar baru ke institusi pengajian tinggi (IPT) bagi program asasi, matrikulasi, diploma dan ijazah turut ditangguhkan.

Pusat tuisyen gulung tikar

Selain sekolah-sekolah dan institusi pengajian tinggi, pusat tuisyen yang membantu memantapkan lagi pemahaman murid bagi mata pelajaran sekolah turut terkesan.

Ramai pengusaha terpaksa gulung tikar selepas tidak dapat meneruskan perniagaan akibat ketiadaan pelajar, selepas sesi persekolahan dihentikan.

MalaysiaNow melaporkan sepanjang tempoh PKP pada Mac lalu menyebabkan banyak pusat tuisyen terutamanya di Kuala Lumpur dan Selangor tidak lagi mampu meneruskan operasi.

Pemilik dan pengurusan rangkaian pusat tuisyen ternama sanggup menjual pusat tuisyen mereka yang sudah beroperasi sejak berpuluh tahun lamanya dengan harga serendah serendah RM7,000 bagi menampung bayaran gaji guru serta utiliti.

Antara lokasi yang disenaraikan untuk dijual termasuk di sekitar Cheras, Pudu, Damansara, Bandar Tun Razak, Subang Jaya dan Shah Alam.

Ijazah dalam talian

Sebelum ini isu membabitkan ijazah yang diperoleh secara dalam talian menerima kritikan hebat kerana ia dianggap tidak laku terutamanya membabitkan institusi pengajian dari luar negara.

Seorang timbalan menteri pernah dihimpit kontroversi selepas timbul dakwaan ijazah pentadbiran perniagaan dimilikinya didakwa palsu.

Namun, selepas universiti awam mengumumkan penutupan kampus berikutan pelaksanaan PKP, kuliah dan tutorial dilaksanakan secara dalam talian sepenuhnya.

Fenomena baru itu menimbulkan persoalan, adakah kualiti dan kelayakan graduan secara dalam talian setaraf dengan mereka yang mengikuti kursus pengajian secara tradisional di dalam kelas?

Capaian internet dan pembelajaran dalam talian

Pada Jun, penuntut Universiti Malaysia Sabah (UMS) Veveonah Mosibin, 18 meraih perhatian ramai selepas video dimuat naiknya tular.

Kisah pelajar itu mencari capaian internet sehingga ke atas pokok turut mendapat perhatian Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Apa yang berlaku membuka mata ramai pihak dalam menyediakan kemudahan infrastrukur lebih baik terutamanya di kawasan-kawasan pedalaman terutamanya di Sabah dan Sarawak.

Tadika dan sekolah swasta ‘bergelora’

Ramai ibu bapa mula memindahkan anak-anak mereka dari sekolah swasta ke sekolah kerajaan menyaksikan institut pendidikan swasta bagaikan “telur di hujung tanduk” dengan ramai pemilik menutup operasi dalam tempoh terdekat susulan tekanan kewangan akibat pandemik Covid-19.

Sebelum ini, beberapa pemilik sekolah swasta memberitahu MalaysiaNow, kebanyakan ibu bapa mengambil pendekatan itu selepas pendapatan mereka semakin berkurangan, malahan ada juga yang hilang pekerjaan disebabkan syarikat menutup operasi.

Situasi sama berlaku kepada pengusaha tadika swasta yang terbeban dengan masalah kewangan sehingga menjejaskan bayaran gaji para kakitangan terutamanya kepada guru-guru.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles