- Iklan -
Berita

8 kluster baru Covid-19 dikesan

Lapan kluster baru itu dikesan di Selangor, Kuala Lumpur, Sabah, Johor dan Perak dengan enam daripadanya melibatkan tempat kerja.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Sebahagian petugas barisan hadapan menjalani proses semburan nyah kuman selepas melakukan Operasi Penguatkuasaan Bersepadu Jabatan Imigresen di sekitar kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Hentian Kajang pada 24 November lalu. Gambar: Bernama
Sebahagian petugas barisan hadapan menjalani proses semburan nyah kuman selepas melakukan Operasi Penguatkuasaan Bersepadu Jabatan Imigresen di sekitar kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Hentian Kajang pada 24 November lalu. Gambar: Bernama

Sebanyak lapan lagi kluster baharu Covid-19 dikesan hari ini oleh Kementerian Kesihatan (KKM) di lima negeri iaitu Selangor, Kuala Lumpur, Sabah, Johor dan Perak dengan enam daripadanya melibatkan tempat kerja.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata di Selangor terdapat dua kluster baharu dikesan iaitu Kluster Pasar Baru melibatkan daerah Klang dan Kuala Langat dengan kes indeks telah dilaporkan positif pada 15 Disember melalui saringan individu bergejala.

“Sehingga 22 Disember, sejumlah 2,001 individu disaring, dengan 309 kes dikesan positif Covid-19 dalam kluster ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, satu lagi kluster di negeri itu ialah Kluster Bukit Naga melibatkan tempat kerja di Klang dengan kes indeks bagi kluster ini dilaporkan pada 13 Disember hasil saringan bersasar di sebuah tapak binaan dan sehingga hari ini, sejumlah 190 individu disaring dengan 58 kes dikesan positif.

Beliau berkata di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pula terdapat tiga kluster baru dikesan yang kesemuanya melibatkan tempat kerja.

Noor Hisham berkata Kluster Tapak Bina Residen dikesan di daerah Lembah Pantai dengan kes indeks dilaporkan positif bermula hari ini melalui saringan bersasar di tapak binaan dan sehingga kini, sejumlah 640 individu disaring dengan 294 kes dikesan positif.

“Kluster Tapak Bina Kasih pula melibatkan daerah Kepong dengan kes indeks positif Covid-19 dilaporkan pada 22 Disember melalui saringan bersasar di tapak binaan dan sehingga hari ini, sejumlah 392 individu disaring dengan 43 kes dikesan positif.

“Satu lagi kluster iaitu Kluster Tapak Bina Sinar View di daerah Kepong dengan kes indeks dilaporkan positif Covid-19 bermula pada 22 Disember melalui saringan bersasar di tempat kerja. Sehingga 22 Disember, sejumlah 510 individu disaring dengan 32 kes dikesan positif Covid-19 dalam kluster ini,” katanya.

Beliau juga berkata di Sabah, Kluster Paginatan dikesan di daerah Ranau, Papar dan Kota Belud dengan kes indeks bagi kluster itu dilaporkan positif pada 15 Disember lepas melalui saringan individu bergejala.

Katanya sehingga hari ini, sejumlah 232 individu disaring dengan 47 kes dikesan positif.

Di Johor, Kluster Tampoi Jaya yang merupakan kluster tempat kerja dikesan melibatkan Johor Bahru dan kes indeks bagi kluster itu dilaporkan positif pada 17 Disember lepas melalui saringan individu bergejala.

“Sehingga 22 Disember, sejumlah 231 individu disaring dengan 32 kes dikesan positif Covid-19 dalam kluster ini,” katanya.

Noor Hisham berkata satu kluster baru yang dikesan di Kinta dan Perak Tengah melibatkan Kluster Rapat dengan kes indeks bagi kluster itu dilaporkan positif pada 16 Disember lepas melalui saringan individu bergejala.

Beliau berkata sejumlah 146 individu disaring dan tujuh kes dikesan positif Covid-19 dalam kluster itu.

Katanya jumlah kluster yang tamat ialah 253 termasuk tiga yang tamat hari ini iaitu Kluster Summer, Kluster Kota Kecil dan Kluster Tenaga.