- Iklan -
Berita

Umno teruskan kerjasama dengan Bersatu dan PAS di Perak

Umno kekal bersama PAS dan Bersatu di Perak.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Keputusan Majlis Tertinggi Umno itu menamatkan spekulasi mereka akan bekerjasama dengan Pakatan Harapan.
Keputusan Majlis Tertinggi Umno itu menamatkan spekulasi mereka akan bekerjasama dengan Pakatan Harapan.

Majlis Tertinggi Umno hari ini memutuskan meneruskan kerjasama dengan Bersatu dan PAS dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) di Perak.

Keputusan Majlis Tertinggi Umno itu menamatkan spekulasi mereka akan bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) untuk membentuk kerajaan di Perak selepas berjaya menyingkirkan Timbalan Presiden Bersatu Ahmad Faizal Azumu sebagai menteri besar.

Faizal digulingkan minggu lepas selepas gagal dalam usul undi percaya dibawa ahli Dewan Undangan Negeri Umno di Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak.

Tindakan itu menyebabkan kemarahan PAS dan Bersatu terhadap Umno.

Keputusan ini dikeluarkan menjelang pertemuan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dengan Sultan Nazrin Shah esok untuk mengemukakan nama calon menteri besar Perak yang baru.

Semalam Zahid mengatakan Umno mungkin bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) yang dianggotai DAP, Amanah dan PKR untuk membentuk kerajaan baru di Perak.

Kenyataan itu disambut baik Pengerusi DAP Perak Nga Kor Ming.

Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan dalam kenyataan malam ini turut memaklumkan, ahli majlis tertinggi bersetuju untuk mengadakan Perhimpunan Agung Umno pada 30 Januari depan.