- Iklan -
Berita

Kerajaan PN kekalkan keputusan PH tolak Statut Rom

PN tidak berhasrat untuk menyertai ICC selaras dengan 'suara majoriti' rakyat Malaysia.

Fazreen Kamal
2 minit bacaan
Kongsi
Kementerian Luar Negeri mengemukakan surat penyertaan Malaysia ke Statut Rom kepada setiausaha agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) selaku pemegang depositori bagi triti pada 29 April 2019. Gambar: AFP
Kementerian Luar Negeri mengemukakan surat penyertaan Malaysia ke Statut Rom kepada setiausaha agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) selaku pemegang depositori bagi triti pada 29 April 2019. Gambar: AFP

Kerajaan Perikatan Nasional (PN) mengekalkan keputusan kerajaan Pakatan Harapan (PH) terdahulu yang menarik diri daripada meretifikasi Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC), kata Timbalan Menteri Luar Negeri Kamarudin Jaffar.

Beliau berkata, Malaysia menyertai Statut Rom pada 4 Mac 2019 sebelum kerajaan PH memutuskan untuk menarik balik penyertaan negara pada 5 April 2019.

Sehubungan itu, Kementerian Luar Negeri mengemukakan surat penyertaan Malaysia ke Statut Rom kepada setiausaha agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) selaku pemegang depositori bagi triti pada 29 April 2019.

“Pada 15 Mei 2019, PBB menghantar surat sebagai pengesahan penyertaan Malaysia dari Statut Rom berkuat kuasa mulai 29 April 2019 iaitu tarikh surat penarikan dihantar oleh Wisma Putra.

“Berikutan itu Malaysia dikeluarkan secara rasmi daripada senarai negara pihak yang menandatangani Statut Rom. Sehingga hari ini Malaysia masih mengekalkan keputusan dibuat oleh Kerajaan PH untuk menarik diri daripada menyertai Statut Rom,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Maria Chin Abdullah (PKR- Petaling Jaya) yang meminta menteri luar negeri menyatakan kedudukan kerajaan terhadap  isu Statut Rom dan kebarangkalian negara akan bersetuju menganggotai Mahkamah Jenayah Antarabangsa dalam masa yang terdekat.

“Pada 15 Mei 2019, PBB menghantar surat sebagai pengesahan penyertaan Malaysia dari Statut Rom berkuat kuasa mulai 29 April 2019 iaitu tarikh surat penarikan dihantar oleh Wisma Putra.

Pada 6 April tahun lalu, Kabinet memutuskan Malaysia menarik diri daripada ICC kerana kekeliruan yang timbul dalam masyarakat serta disebabkan cubaan pihak tertentu untuk mengheret institusi raja menentang kerajaan.

Media melaporkan perdana menteri pada ketika itu Dr Mahathir Mohamad sebagai berkata, ada pihak menjadikan keputusan Malaysia menerima statut itu sebagai isu politik untuk memberi gambaran buruk terhadap kerajaan.

Mahathir berkata, Malaysia boleh menarik balik Surat Cara Penerimaan Statut Rom ICC pada Jun 2019 selepas ia ditandatangani pada 4 Mac 2019 dan diserahkan kepada stiausaha agung PBB pada hari sama.

Ahli Parlimen Langkawi itu juga melahirkan rasa kecewa apabila ada pihak cuba mengheret institusi raja untuk menentang kerajaan dengan mendakwa kononnya Putrajaya mahu menyerahkan kuasa kepada negara luar dan menghakis hak serta kekebalan raja-raja Melayu.

Mengulas lanjut, Kamarudin berkata kerajaan PN tidak berhasrat untuk menyertai ICC selaras dengan “suara majoriti” rakyat Malaysia.

“Kita akan memastikan tindakan kita berpandukan kepada apa yang majoriti rakyat Malaysia hendak,” katanya.