- Iklan -
Berita

Semua ahli Parlimen PAS kekal setia kepada Muhyiddin, kata setiausaha agung

PAS menyeru ahli-ahli Parlimen BN untuk terus mempertahankan kepimpinan Muhyiddin dan kerajaan PN yang dibina bersama di atas keruntuhan PH.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan. Gambar: Facebook
Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan. Gambar: Facebook

PAS hari ini mengulangi ikrar kesetiaan tidak berbelah bahagi kesemua 18 ahli Parlimen mereka kepada kepimpinan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, ketika sekutu rapat mereka Umno kelihatan berpecah berhubung isu itu.

Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan menegaskan parti itu menyokong Perikatan Nasional (PN) kerana kerajaan prihatin serta bertindak memastikan keselamatan, kehidupan ekonomi serta ketenteraman negara dan rakyat terjamin.

“PAS menjunjung kasih ke hadapan Yang di Pertuan Agong atas kebersamaan Baginda dengan kerajaan dalam usaha gigih menguruskan dan menangani penularan pandemik Covid-19 yang menjejaskan kehidupan rakyat jelata,” kata ahli Parlimen Kota Bharu itu dalam satu kenyataan hari ini.

“PAS juga menzahirkan kesetiaan tidak berbelah bahagi kepada kepimpinan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, sekaligus mempertegaskan sokongan kesemua 18 Ahli Parlimen PAS bersama kerajaan Perikatan Nasional.”

Semalam, selepas mesyuarat selama hampir empat jam, Umno akhirnya mengatakan akan terus kekal bersama PN walaupun sebelum itu terdapat pelbagai cadangan termasuk untuk bekerjasama dengan Presiden PKR Anwar Ibrahim.

Pada masa sama, Takiyuddin berkata PAS menyeru semua ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) untuk terus mempertahankan kepimpinan perdana menteri dan kerajaan PN yang dibina bersama di atas keruntuhan Pakatan Harapan (PH).

“Marilah kita seluruh rakyat Malaysia berdoa serta memohon perlindungan berterusan daripada Tuhan supaya dihapuskan wabak Covid-19 dengan segera dan negara kita kembali selamat, aman dan bersatu-padu,” katanya.