Sunday, May 9, 2021

Jangan panik, pesan Agong kepada rakyat

Istana bimbang dengan spekulasi yang boleh menimbulkan kekeliruan dan keresahan serta menggugatkan ketenteraman negara.

Other News

Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah mahu rakyat untuk terus berada dalam keadaan tenang, ketika Baginda akan mengadakan rundingan dengan Raja-Raja Melayu di Istana Negara dalam masa terdekat bagi membincangkan dan memperhalusi cadangan-cadangan yang dikemukakan Muhyiddin Yassin, fasa seterusnya untuk memerangi Covid-19.

“Sehubungan dengan itu, Sultan Abdullah menasihati seluruh rakyat supaya bertenang, tidak panik dan bersabar dalam menghadapi situasi terkini ini sementara menunggu keputusan mengenai cadangan-cadangan tersebut.

“Seluruh rakyat turut dinasihati supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menimbulkan kekeliruan dan keresahan serta menggugatkan ketenteraman negara yang kita cintai bersama ini,” kata Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Ahmad Fadil Shamsuddin dalam kenyataan media yang dikeluarkan Istana Negara, pagi ini.

Katanya, Agong amat memahami keperluan kelangsungan pentadbiran negara untuk memerangi ancaman wabak Covid-19.

“Malah, Seri Paduka Baginda turut amat prihatin terhadap kegelisahan dan kegusaran rakyat ekoran daripada perkembangan terkini ini,” katanya.

Muhyiddin bersama beberapa anggota Kabinet memberi taklimat cadangan-cadangan yang dicapai dalam Mesyuarat Khas Kabinet di Putrajaya, pagi semalam kepada Agong di Istana Abdul Aziz, Kuantan 5 petang semalam.

Dalam pertemuan semalam, perdana menteri memberi cadangan untuk pertimbangan dan perkenan bagi pelaksanaannya.

Difahamkan, pertemuan itu membincangkan berkenaan darurat yang boleh menyebabkan penggantungan Parlimen namun aktiviti harian diteruskan seperti biasa.

Keputusan ini dibuat ekoran terdapat spekulasi wujudnya gerakan untuk menggagalkan pembentangan Belanjawan 2021 yang dijadualkan awal November nanti.

Sekiranya gagal disokong di Parlimen, ia  akan menyebabkan berlakunya pilihan raya umum tergempar dan dibimbangi akan meningkatkan lagi penularan wabak Covid-19.

Semalam, jumlah kematian meningkat kepada 214 orang, dengan satu pertiga kematian dilaporkan dalam tiga minggu pertama bulan ini.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles