Pemandu pekak Grab saman polis, kerajaan berhubung serangan di Hotel St Regis
Ong Ing Keong mengimbau bagaimana dia dinafikan jurubahasa bahasa isyarat dan ditekan supaya menarik balik laporan polisnya.
Terkini
Pemandu e-hailing pekak yang dicederakan seorang anggota polis pengiring rombongan diraja telah memfailkan saman terhadap penyerangnya, dan menamakan empat lagi individu, termasuk ketua polis negara dan kerajaan Malaysia sebagai defendan, lebih dua tahun selepas insiden itu mencetuskan kemarahan awam dan perdebatan mengenai kedaulatan undang-undang di negara ini.
Dalam saman yang difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 10 Julai, pemandu Grab Ong Ing Keong menamakan anggota polis Muhammad Taufik Ismail sebagai defendan pertama, serta seorang lagi pegawai polis yang didakwanya telah menekannya supaya menarik balik laporan yang dibuat di Balai Polis Jalan Travers kira-kira sejam selepas kejadian pada 28 Mei 2024.
Taufik, 34, yang merupakan sebahagian daripada rombongan rasmi Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim (TMJ), hanya didakwa hampir enam bulan selepas kejadian itu.
Taufik bagaimanapun terlepas hukuman penjara selepas mengaku bersalah dan dikenakan denda RM1,000, keputusan yang mengundang kritikan peguam, komuniti orang kurang upaya dan aktivis hak asasi manusia.
Ong berkata defendan melakukan serangan, kecuaian, salah laku jawatan awam, di samping melanggar Akta Polis dan Akta Orang Kurang Upaya.
Selain menuntut ganti rugi, Ong memohon deklarasi daripada mahkamah bahawa polis melanggar tanggungjawab statutori mereka, serta perintah injunksi mandatori yang mewajibkan polis menyediakan akses kepada jurubahasa Bahasa Isyarat Malaysia di semua balai polis.
Dalam penyataan tuntutannya, Ong mengimbau bagaimana dia ditumbuk secara tiba-tiba oleh Taufik ketika sedang menunggu dalam kereta untuk mengambil empat penumpang di lobi Hotel St Regis, Kuala Lumpur.
Ong, yang mempunyai masalah pendengaran dan pertuturan, berkata dia diarah untuk mengalihkan kenderaannya walaupun penumpang masih sedang menaiki kereta.
Menurutnya, Taufik, yang berpakaian preman, menumbuknya melalui tingkap sebelah pemandu sebaik sahaja penumpang selesai menaiki kenderaan, menyebabkan kecederaan yang memerlukan rawatan perubatan, di samping mengakibatkan perasaan "amat terkejut, ketakutan, trauma, dan dipermalukan".
Ong kemudian membuat laporan di Balai Polis Travers sebelum mendapatkan rawatan di Hospital Kuala Lumpur.
Bagaimanapun, sekembalinya ke balai polis, anggota polis merampas telefon bimbitnya dan menuntut rakaman kamera papan pemuka (dashcam) dipadam serta laporan polisnya ditarik balik.
Ong berkata sepanjang berada di balai polis, dia tidak diberikan khidmat jurubahasa bahasa isyarat sebagaimana dikehendaki di bawah Seksyen 30 Akta Orang Kurang Upaya.
Katanya, seorang lagi pegawai polis kemudian menekannya supaya menarik balik laporan polis dan menerima RM800 sebagai pampasan, jika tidak telefon bimbitnya akan dirampas.
Ong berkata dia akhirnya menandatangani dokumen yang disediakan oleh polis tanpa dimaklumkan kandungannya, sebelum diberi amaran supaya tidak menyebarkan rakaman dashcam kejadian tersebut.
Video dashcam yang kemudian didedahkan kepada media melalui kumpulan peguam Lawyers for Liberty menunjukkan dia sedang menunggu penumpang apabila seorang lelaki menjerit menyuruhnya mengalihkan kereta bagi memberi laluan kepada rombongan TMJ. Ketika menurunkan tingkap untuk bercakap dengan lelaki itu, lelaki berkenaan tiba-tiba menumbuk mukanya dengan kuat.
Ong sebelum ini menolak dakwaan ketua Polis Kuala Lumpur ketika itu, Rusdi Mohd Isa, bahawa dia menarik balik laporan polis disebabkan insiden tersebut hanyalah satu "salah faham".
Kemarahan orang ramai memuncak apabila didedahkan bahawa seorang "wakil istana" telah meminta Ong menarik balik aduannya.
Kelewatan mengambil tindakan turut dikritik oleh Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam), yang mempersoalkan sikap berdiam diri peguam negara ketika itu, Ahmad Terrirudin Mohd Salleh.
Pada September 2024, ratusan orang kurang upaya berhimpun di luar pejabat Perdana Menteri Anwar Ibrahim di Putrajaya bagi membantah kelewatan membawa pertuduhan terhadap penyerang Ong, serta individu yang terlibat memaksanya menarik balik laporan polis.
Selepas Taufik dikenakan denda RM1,000, Ong menceritakan kepada MalaysiaNow mengenai kekecewaannya.
"Saya amat kesal dengan keputusan mahkamah yang hanya mendenda pelaku tersebut RM1,000," katanya kepada MalaysiaNow dengan bantuan seorang rakan yang bertindak sebagai jurubahasa.
Malah serangan itu berlaku pada bulan sama anak lelaki Ong berusia 14 tahun terkorban dalam kemalangan jalan raya.
"Selepas peristiwa itu, saya sangat sedih dan serba salah untuk keluar bekerja meninggalkan isteri keseorangan di rumah," kata Ong.
"Sudahlah anak baru sahaja pergi, saya masih bersedih, kadang kala menangis. Kemudian, kejadian ini pula menimpa dan wajah saya menangis jadi tontonan banyak pihak."
Ikuti kami di WhatsApp & Telegram
Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.
Langgan berita kami
Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.
