- Iklan -
Luar Sana

Texas akan kenakan caj ke atas kenderaan elektrik

Hasil yang dikutip daripada caj berkenaan akan disalurkan ke dalam dana lebuh raya negeri untuk membantu membayar projek pembinaan dan penyelenggaraan jalan raya.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Sebuah kereta elektrik dicas di tempat pengecasan EV di London, 19 Oktober 2021. Gambar: Reuters
Sebuah kereta elektrik dicas di tempat pengecasan EV di London, 19 Oktober 2021. Gambar: Reuters

Mulai September, pemandu kenderaan elektrik (EV) di Texas, perlu membayar caj tambahan AS$200 setiap tahun untuk mendaftarkan kenderaan mereka, Xinhua memetik laporan media tempatan pada Rabu.

Jika mereka berhasrat membeli EV lain, ia akan menelan kos pendahuluan sekitar AS$400, menurut undang-undang baharu yang mengenakan bayaran ke atas EV bagi menggantikan cukai petrol. Bayaran tidak akan dikenakan kepada kenderaan hibrid.

Hasil yang dikutip daripada caj berkenaan akan disalurkan ke dalam dana lebuh raya negeri untuk membantu membayar projek pembinaan dan penyelenggaraan jalan raya.

Menurut eenews.net, caj berkenaan hampir dua kali ganda daripada purata cukai yang dibayar oleh pemandu yang menggunakan petrol.

Caj EV baharu ini antara yang paling mahal di seluruh negara, berbanding cukai petrol yang tidak berubah sejak 1991, dan kini merupakan antara paling murah di Amerika Syarikat.

Langkah lain yang diterima pakai di negeri ini termasuk cukai baharu ke atas pemandu yang menggunakan stesen pengecas.

Pentadbiran Biden telah memperkenalkan subsidi besar-besaran untuk beberapa EV di bawah Akta Pengurangan Inflasi, bersama-sama dengan piawai pencemaran ekzos baharu daripada Agensi Perlindungan Alam Sekitar.  Pasaran EV AS diramalkan meningkat dua kali ganda berbanding pada 2021, menurut laporan itu.