- Iklan -
Berita

Bekas timbalan menteri pertahanan Abdullah Fadzil Che Wan meninggal dunia

Abdullah Fadzil yang pernah memimpin Persatuan Badminton Malaysia selama tujuh tahun meninggal dunia pada usia 78 tahun.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Bekas timbalan menteri pertahanan Abdullah Fadzil Che Wan meninggal dunia pada usia 78 tahun. Gambar: Facebook
Bekas timbalan menteri pertahanan Abdullah Fadzil Che Wan meninggal dunia pada usia 78 tahun. Gambar: Facebook

Bekas Timbalan Menteri Pertahanan Abdullah Fadzil Che Wan meninggal dunia pada kira-kira 3 pagi tadi di sebuah hospital swasta di Kajang, Selangor. 

Orang Besar Jajahan Kinta Ab Wahab Azizul Hassan yang mengesahkan perkara itu kepada Bernama, berkata Abdullah Fadzil meninggal dunia pada usia 78 tahun.

Beliau berkata Allahyarham yang juga Orang Besar Jajahan Kinta dan bekas timbalan menteri luar, sebelum ini terlantar kira-kira lima tahun akibat penyakit alzheimer. 

Ab Wahab berkata jenazah akan dimandikan dan disolatkan di Masjid Sungai Ramal, Kajang sebelum dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Masjid Panglima Kinta, Ipoh pada 2 petang ini.

Abdullah Fadzil pernah memegang jawatan timbalan menteri luar pada 1987 dan timbalan menteri pertahanan pada 1995 dalam kerajaan sebelum ini.

Allahyarham juga pernah menggalas tanggungjawab sebagai Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) pada 1993 hingga 2000.

Pada 2015, media melaporkan Abdullah Fadzil hilang di Bukit Tunku, Kuala Lumpur sebelum ditemui pada petang hari yang sama dan difahamkan ketika itu beliau dipercayai menghidap dementia iaitu kelemahan daya mental hingga mengakibatkan hilang memori.

Ikuti kami di WhatsApp & Telegram

Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.

Langgan berita kami

Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.

Kongsi