- Iklan -
Berita

Hamzah kemuka surat tuntutan kepada SPRM berhubung kaitan kes rasuah RM15 juta

Surat tuntutan itu juga dihantar kepada ketua pesuruhjaya agensi antirasuah, Azam Baki.

Ahmad Mustakim Zulkifli
1 minit bacaan
Kongsi
Setiausaha Agung Bersatu, Hamzah Zainudin. Gambar: Bernama
Setiausaha Agung Bersatu, Hamzah Zainudin. Gambar: Bernama

Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin mendakwa berlaku penyalahgunaan kuasa dalam kalangan pegawai tertinggi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) termasuk ketua pesuruhjayanya, Azam Baki berhubung kes rasuah RM15 juta membabitkan ahli Parlimen Larut itu dengan seorang ahli perniagaan, Steven Sim.

Katanya, berdasarkan satu laporan polis yang dibuat oleh Sim, beliau telah disiasat dan diugut dengan pendakwaan jenayah dan tahanan jika tidak mengaitkan Hamzah dengan kes tersebut.

"Ini adalah satu kezaliman. Mengapa mereka mesti melakukan sebegini rupa?

"Selepas kes ini keluar, saya telah dipanggil untuk siasatan dan saya ingin memaklumkan saya tidak melakukan aktiviti korup seperti yang mereka maksudkan," katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Menurut laporan itu, Sim berkata pegawai SPRM mendakwa beliau telah menerima sejumlah RM15 juta dan dipersoal sama ada beliau telah memberikan wang itu kepada Hamzah.

Sim turut ditahan dalam lokap SPRM dan diminta berkali-kali untuk mengaku beliau telah memberi wang kepada Hamzah dan diberikan jaminan kebebasan jika berbuat demikian.

"The truth is I (Steven) did not give him any money (Sebenarnya saya (Sim) tidak memberinya wang)" menurut laporan polis pada Jun lalu yang dibaca oleh Hamzah.

Hamzah yang juga setiausaha agung Bersatu mendakwa ada konspirasi terhadap dirinya.

Katanya, Sim telah pun dihadapkan ke mahkamah oleh SPRM yang mana sabitan berkenaan turut membabitkan nama beliau.

Hamzah berkata, peguamnya telah menghantar surat tuntutan tersebut kepada Azam Baki dan SPRM.

"Azam Baki dan beberapa pegawai awam kerajaan telah melakukan salah guna kuasa dan berkonspirasi untuk menyebabkan saya dianggap sebagai seorang yang melakukan kesalahan," katanya.

Surat tuntutan itu antara lain menurut Hamzah menggesa pegawai-pegawai awam untuk tidak berpihak terhadap mana-mana parti politik.

Ikuti kami di WhatsApp & Telegram

Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.

Langgan berita kami

Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.

Kongsi