- Iklan -
Berita

Potongan cukai taksiran 30% bagi kediaman Putrajaya bawah RM300,000

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata pengurangan cukai taksiran itu akan berkuat kuasa mulai 1 Januari 2023.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Gambar fail dua penduduk Putrajaya beriadah di Presint 2.
Gambar fail dua penduduk Putrajaya beriadah di Presint 2.

Semua kediaman berharga di bawah RM300,000 di Putrajaya akan diberikan potongan sebanyak 30% daripada jumlah cukai taksiran yang dikenakan.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata pengurangan cukai taksiran itu akan berkuat kuasa mulai 1 Januari 2023 sehingga penilaian semula dilaksanakan oleh Perbadanan Putrajaya.

“Potongan sebanyak 30% ini diberikan kepada premis kediaman yang telah siap dibina pada tahun 2017 sehingga kini yang melibatkan hampir 8,500 unit kediaman,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Anwar berkata beliau membuat keputusan itu berikutan rungutan dan pandangan penduduk Putrajaya bahawa cukai taksiran yang dikenakan ke atas premis kediaman mereka agak tinggi berbanding kawasan sekitarnya.

Menurut Anwar pengurangan itu adalah selaras dengan hasrat kerajaan untuk mengurangkan bebanan rakyat terutama golongan M40 dan B40 yang memiliki kediaman mampu milik di Putrajaya.