- Iklan -
Berita

Tular surat BN sokong Anwar, Annuar kata Zahid cuba tipu istana sekali lagi

Pemimpin Umno Annuar Musa menggesa laporan polis dibuat mengenai percubaan menipu Yang di-Pertuan Agong mengenai sokongan BN kepada Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Pengerusi Umno Ketereh Annuar Musa.
Pengerusi Umno Ketereh Annuar Musa.

Pemimpin Umno Annuar Musa hari ini menggesa laporan polis dibuat untuk menyiasat sebuah surat yang didakwanya satu percubaan menipu Yang di-Pertuan Agong oleh Pengerusi Barisan Nasional (BN) Ahmad Zahid Hamidi mengenai sokongan gabungan itu kepada Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri

Semakan mendapati, kandungan surat itu menunjukkan Zahid mendakwa sebagai pengerusi BN, beliau mewakili 30 ahli Parlimen, mengatakan kesemua mereka menyokong pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu.

Dalam hantaran Facebook hari ini, Annuar menggesa rakyat dan ahli Umno dan BN bangkit bagi memperbetulkan cubaan menipu yang disifatkan sebagai “perbuatan durjana”.

"Jika surat kepada Yang di-Pertuan Agong merupakan satu percubaan menipu Agong, ianya satu kesalahan yang amat berat yang sekali lagi dibuat oleh orang yang sama seperti dilakukan pada bulan Oktober 2020," kata Annuar merujuk kepada makluman Zahid kepada istana melalui surat bahawa ahli Parlimen BN menyokong Anwar untuk menjatuhkan perdana menteri ketika itu Muhyiddin Yassin.

WhatsApp Image 2022-11-23 at 2.16.27 PM

Beberapa pemimpin termasuk timbalan Zahid sendiri,  Mohamad Hasan sebelum ini berkata BN sepatutnya kekal sebagai pembangkang. 

Ramai pemimpin Umno turut secara terbuka mengecam Zahid kerana menyokong Anwar, dan menggesa beliau berundur sebagai pengerusi BN dan presiden Umno berikutan prestasi buruk gabungan itu dalam pilihan raya umum baru-baru ini.

Dalam pada itu, Annuar turut mempersoalkan siapakah yang berbohong mengenai keputusan Umno yang sudah menetapkan untuk tidak menyokong mana-mana calon daripada gabungan politik lain.

“Kita sebaliknya dimaklumkan BN memutuskan tidak menyokong mana-mana calon, siapakah yang berbohong di sini?

“Rakyat menuntut penjelasan pemimpin BN yang terlibat, khasnya ahli mesyuarat Dewan Tertinggi BN.”

Kemelut pelantikan perdana kini memasuki hari keempat di mana persaingan antara dua calon perdana menteri Muhyiddin Yassin dari Perikatan Nasional (PN) dan Anwar dari PH masih diteruskan.

Beberapa sesi mengadap di Istana Negara dijalankan dalam usaha Yang di-Pertuan Agong menentukan siapakah yang bakal mengemudi negara selepas keputusan pilihan raya umum baru-baru menunjukkan tiada gabungan yang mendapat majoriti mudah bagi membentuk kerajaan.