- Iklan -
Berita

Malaysia sasar kurangkan penghuni penjara hingga 2 pertiga dalam tempoh 8 tahun

Jabatan Penjara Malaysia berkata tumpuan akan diberikan terhadap khidmat komuniti sebagai sebahagian daripada objektif mengurangkan populasi penjara.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Seorang banduan menunggu giliran untuk mendapatkan rawatan perubatan di Penjara Kajang, Selangor.
Seorang banduan menunggu giliran untuk mendapatkan rawatan perubatan di Penjara Kajang, Selangor.

Malaysia menyasarkan untuk mengurangkan kadar penghuni penjara sebanyak dua pertiga dalam tempoh lapan tahun akan datang dengan beralih kepada inisiatif khidmat komuniti, kata Komisioner Jeneral Jabatan Penjara Malaysia Nordin Muhamad.

Tumpuan diberi terhadap khidmat komuniti sebagai sebahagian daripada objektif Malaysia mengurangkan populasi penjara dan menyokong pemulihan mereka yang disabitkan dengan kesalahan tidak serius.

"Pada masa hadapan, menjelang 2030, dua pertiga banduan yang disabitkan bersalah harus menjalani khidmat komuniti. Kemudahan penjara bertujuan untuk mereka yang terlibat dalam jenayah berat," kata Nordin kepada Bernama dalam satu temu bual di New Delhi.

Kira-kira 30% daripada jenayah di Malaysia membabitkan kesalahan serius dan ganas.

Nordin berkata kadar bekas banduan pengulang laku jenayah yang tidak berpeluang jalani pemulihan di luar penjara adalah 15 peratus berbanding hanya 0.38% bagi mereka yang menjalani khidmat komuniti.

“Fokus untuk masa depan kita lebih kepada pemulihan komuniti supaya kita boleh mengurangkan pengulang laku jenayah,” katanya.

Untuk melindungi masyarakat dengan lebih baik, ideanya adalah untuk berubah daripada hukuman sebagai balasan kepada pemulihan, katanya.

Kemudahan penjara Malaysia pada masa ini menampung kira-kira 76,000 banduan berbanding kapasiti sedia ada sebanyak 66,000.

Inisiatif pemulihan dan penempatan semula Jabatan Penjara Malaysia termasuk skim pekerjaan di mana syarikat menawarkan pekerjaan dan penginapan kepada banduan yang layak di bawah pengawasan pegawai penjara.

Pada masa ini kira-kira 5,000 banduan mendaftar dalam skim pekerjaan dengan pelbagai syarikat.

"Dijangka sasaran sebanyak 10,000 banduan menyertai inisiatif itu dapat dicapai menjelang 2023.        

Kerajaan akan dapat mengurangkan perbelanjaan bulanan sebanyak RM500 bagi setiap banduan," kata Nordin.

Bercakap mengenai kemudahan penjagaan kesihatan untuk banduan, beliau berkata perkhidmatan asas hampir sama dengan yang ada di luar tetapi Jabatan Penjara sedang mencari cara untuk meningkatkan akses kepada rawatan perubatan pakar.

Semasa lawatannya ke New Delhi minggu lalu, beliau melawat penjara besar Tihar di ibu negara India itu dan bertukar pandangan dengan Ketua Pengarah Penjara Delhi Sandeep Goel mengenai isu seperti pengurusan banduan dan pemulihan.

Nordin berkata Malaysia dan India bersedia untuk berkongsi amalan terbaik mereka dalam pengurusan penjara.

"Pegawai India boleh berkunjung ke Akademi Koreksional Malaysia di Langkawi untuk jalani latihan dan pegawai Malaysia juga boleh melawat penjara India untuk belajar dan merasai pengalaman kerja dan prosedur kerja dalam bidang keselamatan dinamik," katanya.