- Iklan -
Berita

Wakil rakyat tak patut sering tukar kawasan, kata Azmin

Penyandang kerusi Gombak itu memerli sikap sesetengah wakil rakyat yang sanggup tukar dan bertanding di kawasan lain semata-mata untuk memenuhi kepentingan peribadi.

Azzman Abdul Jamal
2 minit bacaan
Kongsi
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Mohamed Azmin Ali menyampaikan ucapannya sebelum merasmikan Sambutan Hari Miti 2022 di Hulu Kelang.
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Mohamed Azmin Ali menyampaikan ucapannya sebelum merasmikan Sambutan Hari Miti 2022 di Hulu Kelang.

Penyandang kerusi Parlimen Gombak, Mohamed Azmin Ali memerli sikap sesetengah wakil rakyat yang sanggup tukar dan bertanding di kawasan lain semata-mata untuk memenuhi kepentingan peribadi.

Beliau yang juga menteri kanan perdagangan antarabangsa dan industri berkata, tanggungjawab sebenar seorang pemimpin ialah berkhidmat kepada rakyat dan bukan menjadikan kawasan Parlimen sebagai tempat meraih kuasa semata-mata.

Katanya, tidak wajar untuk individu membuat keputusan untuk bertanding di kawasan tertentu semata-mata mempunyai niat untuk menjatuhkan individu lain.

"Lari dari satu kawasan ke kawasan lain, ini tidak bagus sebab kita bertanding sebab nak berkhidmat kepada rakyat," katanya pada sidang media Hari Miti 2020 di Taman Melawati di Gombak, Selangor hari ini.

"Bukan sebab hasad dengki atau dendam."

Anwar Ibrahim memberi bayangan tidak akan mempertahankan kerusi Parlimen Port Dickson dan memberi laluan kepada calon lain selain meluahkan hasrat untuk bertanding di kerusi milik bekas ahli PKR.

Malah, Anwar yang juga pengerusi Pakatan Harapan (PH) turut mengatakan beliau ditawarkan oleh beberapa kepimpinan negeri untuk bertanding di mana-mana kawasan.

Bagaimanapun, Azmin sebelum ini turut mengalu-alukan usikan Anwar sekiranya ingin bertanding di Gombak.

"Kalau kita zahirkan niat secara terbuka untuk bertanding di satu kawasan disebabkan tidak suka individu tersebut, ini bukan pemimpin.

"Kemudian itu tidak cukup, isteri aku ada di sini, aku bertanding di sana, ini politik apa?" soal beliau sambil menambah rakyat kini matang untuk menilai.

Sementara itu, Azmin juga terbuka sekiranya diminta untuk kembali memegang jawatan menteri besar Selangor.

"Itu terpulang kepada rakyat. Saya di mana-mana pun boleh. 

"Secara peribadi saya rasa prestasi Selangor baik tetapi masih ada ruang untuk dipertingkatkan," katanya.

Mengulas mengenai tindakan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob membubarkan Parlimen pada 10 Oktober lalu, Azmin turut berpandangan keputusan itu sebagai tidak wajar.

Beliau berkata, keputusan itu dipercayai di dorong oleh pihak yang inginkan peratusan keluar mengundi rendah.

"Ada pihak tidak mahu peratusan keluar mengundi tinggi kerana berandaian keputusan akan berpihak kepada mereka.

"Apa akan berlaku sekiranya banjir besar dan hujan lebat yang boleh sebab jambatan putus atau jalan rosak? Maka hak rakyat untuk mengundi dinafikan.

"Ini bertentangan dengan Perlembagaan negara," tegas beliau sambil menyeru orang ramai membuat keputusan bijak memilih kerajaan yang bertanggungjawab menerajui negara.