- Iklan -
Berita

Keputusan pemakaian pelitup muka dibuat berdasarkan data, kajian, kata MPN

Pengerusi Majlis Pemulihan Negara Muhyiddin Yassin berkata ia ada perkembangan baik perlu diterima semua pihak.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Orang ramai menjamu selera di pasar raya Sogo, Kuala Lumpur. Langkah memakai pelitup muka masih diamalkan ramai di kawasan tertutup.
Orang ramai menjamu selera di pasar raya Sogo, Kuala Lumpur. Langkah memakai pelitup muka masih diamalkan ramai di kawasan tertutup.

Pengerusi Majlis Pemulihan Negara Muhyiddin Yassin percaya keputusan menetapkan pemakaian pelitup muka di dalam bangunan sebagai pilihan individu, dibuat berasaskan data dan kajian saintifik dari sudut kesihatan awam.

Beliau berkata keputusan itu harus diterima semua pihak mengambil kira banyak negara termasuk United Kingdom kini sudah membenarkan rakyatnya tidak memakai pelitup muka ketika berada dalam kenderaan awam atau di tempat yang sesak.

“Ini satu perkembangan yang saya fikir agak baik. Kita tidak boleh paksa (orang ramai memakai pelitup muka) kalau situasi (pandemik Covid-19) sudah bertambah baik, dan kita juga perlu fikirkan keselesaan, cuma kena berjaga-jagalah.

“Kalau kita rasa macam tidak selesa dan hendak pakai, pakailah tetapi kalau rasa sudah selamat walaupun keadaan tidak berapa tentu selamat, itu terserah kerana ia (pemakaian) sudah tidak menjadi satu perkara seperti dulu,” kata beliau.

Muhyiddin berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pelancaran buku autobiograpi Ampikaipakan Kandiah berjudul "The Doctor Will See You Now: My Life with Ampikaipakan Kandiah" yang ditulis oleh Thamayanthi Devi Ampikaipakan di Sekolah Kebangsaan Jenis Tamil Vivekananda, Brickfields semalam.

Terdahulu, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin mengumumkan pemakaian pelitup muka di dalam bangunan kini adalah atas pilihan individu berkuat kuasa serta-merta.

Beliau berkata bagaimanapun pemilik premis boleh menentukan sama ada pengunjung wajib memakai pelitup muka atau boleh memilih untuk tidak memakainya. 

Pemakaian pelitup muka juga masih diwajibkan bagi situasi kes positif Covid-19 yang perlu ke Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) untuk menjalani penilaian kesihatan, serta ketika menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam dan semasa berada di fasiliti kesihatan.