- Iklan -
Berita

Polis lumpuhkan sindiket tawar pekerjaan dalam talian

Enam suspek ditahan di sebuah kondominium di Kuala Lumpur.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Seorang wanita melihat telefon pintarnya ketika berjalan melalui Masjid Jamek di Kuala Lumpur.
Seorang wanita melihat telefon pintarnya ketika berjalan melalui Masjid Jamek di Kuala Lumpur.

Polis berjaya melumpuhkan sindiket yang menawarkan pekerjaan secara dalam talian sebagai ejen penjual barang, susulan penahanan lima lelaki dan seorang wanita di sebuah kondominium di Jalan Ceylon di Kuala Lumpur Selasa lalu.

Ketua Polis Dang Wangi Noor Dellhan Yahaya berkata serbuan di kondominium itu yang dijadikan pusat panggilan kepada sindiket yang beroperasi sejak sebulan lepas dilakukan pada 5.25 petang.

“Siasatan mendapati sindiket itu menawarkan pekerjaan kepada orang ramai menerusi platform media sosial untuk menjual barang secara dalam talian antaranya dompet.

“Mangsa akan menerima barang pada pembelian pertama namun apabila membeli secara pukal, sindiket melarikan diri selepas menerima wang,” katanya dalam sebuah kenyataan.

Noor Dellhan berkata pihaknya turut merampas 29 telefon bimbit, lima komputer, lima peranti perkakasan pemprosesan dan sebuah komputer riba.

Katanya, semua individu berusia 19 hingga 26 tahun itu direman hingga Jumaat ini untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.