- Iklan -
Berita

Sarawak yakin capai sasaran 1.2 juta pelancong tahun ini

Jumlah itu melonjak lebih 680% kepada 439,150 lima bulan pertama tahun ini, berbanding tempoh sama tahun lepas.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak Abdul Karim Rahman Hamzah.
Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak Abdul Karim Rahman Hamzah.

Sarawak akan mencapai sasaran 1.2 juta pelancong akhir tahun ini menerusi pelbagai program yang dijadualkan diadakan di negeri itu, kata Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan negeri Abdul Karim Rahman Hamzah.

Beliau berkata berdasarkan kepada statistik ketibaan pelancong ke negeri tu, jumlah itu melonjak lebih 680% kepada 439,150 lima bulan pertama tahun ini, berbanding tempoh sama tahun lepas dengan lebih ramai dijangka memasuki Sarawak sehingga hujung tahun 2022.

“Saya percaya dari Jun hingga Disember, jumlah itu akan meningkat lagi dan kami akan dapat mencapainya (sasaran 1.2 juta pelancong) kerana setiap bulan kami ada program seperti maraton antarabangsa, Festival Jazz Waterfront Kuching dan ‘What About Kuching 2022’ (WAK).

“Malah selepas 1 Ogos, sempadan Brunei akan dibuka dan kita sasarkan untuk sekurang-kurangnya 4,000 orang seminggu akan datang dari Brunei,” katanya pada sidang media acara “WAK 2022 Call For Proposal” di Kuching hari ini.

Karim berkata jumlah ketibaan pelancong warga asing juga melonjak 376% kepada 43,404 antara Januari hingga Mei berbanding tempoh sama tahun lepas.

Survei Pelancongan Domestik 2021 menerusi kenyataan dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia semalam melaporkan Sarawak menerima 6.5 juta pelancong domestik tahun lepas, menjadikan ia negeri yang paling ramai dilawati di Malaysia.

Sementara itu Karim berkata selepas dua tahun pandemik, WAK 2022 akan berlangsung dari 1 hingga 31 Oktober dengan slogan “Dari Komuniti untuk Komuniti”, untuk meraikan kesenian, kebudaan dan gaya hidup komuniti kreatif.

Sementara itu Pengasas WAK Donald Tan mengingatkan mereka yang berminat untuk menyertai program cadangan kreatif WAK 2022 mempunyai tempoh sehingga 31 Julai untuk menghantarkan cadangan mereka menerusi http://www.aboutkuching.com.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.