Lagi bazar Ramadan diarah tutup langgar SOP
SOP menyediakan kaunter saringan dan pemeriksaan suhu badan, kawalan keluar masuk ke tapak bazar antara yang tidak dipatuhi penganjur bazar.
Terkini
Bazar Ramadan Bukit Nyamuk di Kuala Nerang diarahkan ditutup, susulan pemeriksaan pihak Majlis Daerah Padang Terap (MDPT) mendapati prosedur operasi standard (SOP) gagal dipatuhi oleh peniaga serta pengunjung bazar itu.
Yang Dipertua MDPT Suhaimi Abd Rahman berkata penutupan operasi bazar berkenaan berkuat kuasa Khamis, namun beliau tidak menyatakan tempoh penutupan bazar Ramadan itu.
“Ia sebagai langkah berjaga-jaga bagi mengelakkan kejadian atau penularan wabak Covid-19 daripada berlaku di dalam kelompok komuniti daerah ini,” katanya dalam sebuah kenyataan.
Katanya antara SOP yang gagal dipatuhi peniaga dan pengunjung seperti yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) ialah tidak menyediakan kaunter saringan dan pemeriksaan suhu badan, tiada kawalan keluar masuk ke tapak bazar, tidak memakai pelitup muka, dan sebagainya.
Beliau berkata jika arahan berkenaan gagal dipatuhi, tindakan penguatkuasaan serta undang-undang akan diambil selaras dengan peruntukan kuasa kepada MDPT di bawah Seksyen 72(1)(f) Akta Kerajaan Tempatan 1976.
Ikuti kami di WhatsApp & Telegram
Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.
Langgan berita kami
Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.