- Iklan -
Berita

Wanita Umno sokong tiada kerjasama dengan PKR, DAP dan Bersatu

Perbezaan matlamat menyebabkan Umno dan Bersatu gagal untuk mencapai kata sepakat bekerjasama pada PRU15.

Fadila Awaludin
1 minit bacaan
Kongsi
Perwakilan Puteri dan Wanita Umno membuat imbasan kod mySejahtera sebelum masuk ke Dewan Merdeka di PWTC.
Perwakilan Puteri dan Wanita Umno membuat imbasan kod mySejahtera sebelum masuk ke Dewan Merdeka di PWTC.

Wanita Umno menyatakan sokongan terhadap keputusan majlis kerja tertinggi (MKT) yang menolak untuk bekerjasama dengan DAP dan PKR termasuk memutuskan hubungan dengan Bersatu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ketua Wanita Umno Noraini Ahmad berkata, perbezaan matlamat menyebabkan parti Melayu itu dan Bersatu gagal untuk mencapai kata sepakat bekerjasama pada PRU15.

“Sudah tentu keputusan ini memberikan pelbagai implikasi politik kepada orang Melayu. Namun Wanita Umno berpandangan kita harus terus bersama keputusan yang dibuat oleh akar umbi dan kepimpinan parti,” katanya ketika merasmikan Perhimpunan Agung Umno 2021 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di Kuala Lumpur hari Ini.

“Betul kita kalah namun Wanita Umno tetap setia kepada parti. Wanita adalah tunjang parti keramat ini.”

Noraini juga mengharapkan agar Umno dapat kembali mendominasi pentadbiran negara demi kelestarian rakyat.

“Menegaskan dan mahukan kepimpinan parti untuk terus tegas dalam memastikan parti ini kembali memimpin. Bukan kerana kuasa, bukan kerana kerusi tetapi perlu mendominasi untuk kesejahteraan rakyat.

“Jangan sesekali benarkan kerusi yang penat jerih Wanita dan jentera parti menangi diberikan lagi kepada pengkhianat yang lompat parti,” katanya.

Katanya, demi survival, Umno tiada pilihan melainkan bergerak sendiri pada PRU15 tanpa bergabung dengan parti lain sebagai usaha membentuk kerajaan baru.