- Iklan -
Berita

Zuraida selar Teresa Kok kerana menghina peniaga kecil

Langkah kerajaan membenar peniaga kecil berniaga bagi membantu mereka yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin. Gambar: Bernama
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin. Gambar: Bernama

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin hari ini menyelar Teresa Kok berhubung komennya terhadap tindakan kerajaan melonggarkan undang-undang terhadap peniaga kecil, mengatakan komen ahli Parlimen Seputeh itu sebagai “tidak berfaedah dan semberono.”

Dalam satu kenyataannya, Zuraida yang juga ahli Parlimen Ampang mengatakan langkah kerajaan mewujudkan zon bebas untuk peniaga kecil di Wilayah Persekutuan bertujuan supaya mereka dapat menjalankan aktiviti ekonomi selepas terkesan akibat pandemik Covid-19.

“Agak mengecewakan mendengar beliau menyindir kesan daripada cadangan zon bebas itu akan menyebabkan gerai-gerai dibangunkan di Jalan Parlimen,” katanya.

“Mata pencarian peniaga kecil bukanlah bahan gelak.”

Kok minggu lalu mempersoalkan langkah Annuar Musa membenarkan penduduk Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan membuka gerai dan perniagaan kecil di mana-mana kawasan bersesuaian bagi tempoh enam bulan bermula 15 November, mengatakan menteri Wilayah Persekutuan itu ingin menjadikan kota metropolitan itu seperti Parlimen Ketereh.

“Saya agak hairan dengan kenyataan dibuat oleh menteri ini kerana beliau seolah-olah nak jadikan Wilayah Persekutuan ini kawasan Parlimen Ketereh di Kelantan yang mana semua orang boleh buka stor, buka meja jual apa apa-apapun di mana-mana tempat,” kata Kok pada Khamis.

“Agak mengecewakan mendengar beliau menyindir kesan daripada cadangan zon bebas itu akan menyebabkan gerai-gerai dibangunkan di Jalan Parlimen,” katanya.

Zuraida berkata, kenyataan Kok itu juga menghina kerajaan Kelantan, peniaga kecil dan penjawat awam di peringkat kerajaan tempatan dan negeri.

“Bercanggah dengan dakwaannya, cadangan untuk membenarkan peniaga kecil membuka gerai masih perlu mengikuti syarat berpatutan ditetapkan pihak berkuasa,” katanya.

“Dalam waktu terdesak seperti ini, rakyat seharusnya diutamakan berbanding politik. Teresa Kok dan golongan sepertinya perlu ingat peniaga kecil tidak mempunyai gaji tetap daripada kerajaan seperti ahli-ahli Parlimen.”